Warga China hilang di Langkawi ditemu lemas

Warga China hilang di Langkawi ditemu lemas

Mangsa berada di pulau peranginan itu ketika sedang bercuti bersama isteri dan anak lelakinya.

Khairul Azhar Nuruddin
Ketua Polis Langkawi Khairul Azhar Nuruddin, berkata Mingfei Lan, 48, berasal dari Shanghai ditemukan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. (Gambar PDRM)
ALOR SETAR:
Lelaki warga China yang hilang ketika mandi di kawasan Pantai Tanjung Rhu, Langkawi semalam ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Langkawi Khairul Azhar Nuruddin, berkata mayat Mingfei Lan, 48, yang berasal dari Shanghai ditemukan pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pada 9.45 pagi.

“Sebelum kejadian, mangsa yang sedang bercuti bersama isteri dan anak lelakinya telah berenang ke Pulau Cabang seorang diri pada 5.30 petang…anak mangsa kemudian menyedari bahawa ayahnya masih belum timbul pada 6 petang.

“Anaknya telah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak hotel sebelum anggota bomba dari Balai Bomba Langkawi memulakan pencarian di sekitar kawasan pantai berkenaan menggunakan bot pada 9 malam,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di permukaan air berhampiran Pulau Cabang, kira-kira 50m dari lokasi terakhir lelaki itu dilihat sebelum hilang, selepas operasi pencarian disambung semula pagi ini.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.