Beberapa individu akan dipanggil bantu siasatan berkait pemilikan saham Azam

Beberapa individu akan dipanggil bantu siasatan berkait pemilikan saham Azam

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata polis sedang jalankan siasatan termasuk ambil keterangan daripada pihak berkaitan.

AZAM BAKI
Semalam, Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung penyiaran satu artikel yang didakwa berunsur fitnah.
PETALING JAYA:
Beberapa individu akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata siasatan telah dibuka dan pihaknya menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada pihak yang berkaitan, lapor Bernama.

“Insya-Allah perkembangan dikemas kini dari semasa ke semasa dan kertas siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya yang dipetik sebagai berkata di Majlis Sumbangan Yayasan Seri Negara dan Penyerahan Zakat Wakalah PBLT Sdn Bhd di IPD Cheras.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar pada 14 Feb lalu berkata polis membuka kertas siasatan berhubung penyiaran artikel diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Azam.

Siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Am.

Kabinet turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan tersebut sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Azam dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.

Semalam, Azam memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg berhubung artikel berkenaan yang didakwa berunsur fitnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.