
Ditemui di satu majlis hari ini, beliau berkata tidak salah menulis surat sokongan itu kerana tender itu belum diputuskan.
Salahuddin berkata, akhirnya, ia akan memberi manfaat kepada 920,000 ahli Nafas dan bukan untuk perkayakan dirinya.
“Ya, saya menulis surat kepada PM kerana ia tanggungjawab saya. Tender itu belum diputuskan. Sesiapa sahaja boleh jumpa saya apabila tender dibuka; orang ramai boleh mengambil bahagian.
“Tidak apa selagi ia tidak dimuktamadkan. Ia salah apabila keputusan tender sudah dimuktamadkan dan surat siap terima (SST) sudah diberi kepada pembina yang menang.
“Sebenarnya, mereka yang buat dakwaan itu tahu apa yang katakan ini. Mereka hanya bikin isu di Parlimen,” katanya.
Salahuddin berkata Nafas bukan syarikat swasta atau kontraktor tetapi badan yang ditadbir kementeriannya.
“Nafas mengambil bahagian dalam tender terbuka itu. Sebagai seorang menteri, saya tidak terlibat dalam semua perkara berhubung tender.”
Beliau juga menafikan tender awal dibatalkan untuk beri laluan kepada Nafas, dan tuntut bukti menyatakan sebaliknya.
Salahuddin menepis perkara itu suatu skandal, mengatakan tiada wang masuk ke akaunnya, isterinya, timbalannya dan sebagainya.
“Tetapi jika Nafas dapat perjanjian ini, ia akan masuk ke dalam sebuah persatuan yang dikendalikan langsung oleh kementerian, untuk kebajikan petani di seluruh negara,” katanya.
Semalam, Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan pemberian projek pembekalan input pertanian sektor padi kepada Nafas, yang melibatkan peruntukan RM1.4 bilion, mendakwa ia diberi secara rundingan terus walaupun tewas dalam persaingan tender terbuka.
Wee di Dewan Rakyat mendakwa terdapat suatu surat bertarikh 7 Nov 2019 daripada seorang menteri kepada perdana menteri memohon melantik Nafas secara rundingan terus bagi tempoh 3 tahun dari 2020 hingga 2022.
Beliau menuntut Salahuddin sendiri menjelaskan kenapa harus membatalkan syarikat-syarikat yang sudah terpilih melalui proses tender terbuka, kenapa projek itu harus dianugerahkan kepada Nafas, dan kenapa pemilihan itu harus secara rundingan terus.
Timbalan Menteri Sim Tze Tzin menolak dakwaan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka sebelum ini.
“Proses ini sedang berjalan, menteri dan timbalan menteri tidak campur dalam proses tender,” katanya di Dewan Rakyat.