Soal tak hadir mesyuarat tak relevan, Zuraida jawab Fahmi

Soal tak hadir mesyuarat tak relevan, Zuraida jawab Fahmi

Pemecatan Zakaria Abdul Hamid tidak ikut proses wajar, kata Zuraida Kamaruddin.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata soal ketidakhadirannya dalam mesyuarat parti tidak relevan dalam isu pemecatan seorang ahli, Zakaria Abdul Hamid, menjelaskan kritikannya mengenai proses pemecatan itu.

Beliau menjawab Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang berkata Zuraida akan faham keputusan parti sekiranya beliau menyertai mesyuarat semalam, yang membincangkan maklumat penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap Zakaria.

Zuraida mengingatkan Fahmi bahawa dia seorang pegawai lantikan dalam parti itu, dan menepis penjelasannya sebagai “terlalu mentah”.

“Berdasarkan kenyataannya itu, jelas beliau tidak memahami isu yang saya utarakan…pemecatan ini tidak mengikut proses wajar.

“Soal saya hadir atau tidak ke mesyuarat parti tidak relevan untuk dibincangkan atas isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida menegaskan apa pun status kehadirannya dalam mesyuarat parti tidak harus menjejaskan prinsip PKR “yang perlu dilaksana atas anggota parti”.

“Saya naib presiden parti, bukanlah hakim agung parti,” tambahnya.

Sebelum ini, Zuraida mengecam tindakan PKR memecat Zakaria, seorang ahli majlis pimpinan pusat, yang disifatkan sebagai “berani” dan pilih bulu.

Zakaria juga dilaporkan berkata dia tidak tahu menahu mengenai pemecatan itu dan akan menunggu penjelasan rasmi parti sebelum memaklumkan tindakan susulan yang mungkin diambilnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.