
KUALA LUMPUR: Usaha Putrajaya mendapatkan kembali AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) yang dibayar daripada dana 1MDB kepada anak-anak syarikat International Petroleum Investment Company (Ipic) mendapatkan rangsangan di Mahkamah Rayuan di London.
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kerajaan mencabar penyelesaian antara kerajaan lepas dan Ipic milik Emiriah Arab Bersatu dan Aabar Investment PJS (Aabar PJS) untuk didengar di mahkamah terbuka.
Ia menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi England menyekat permohonan 1MDB dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk ketepikan award yang dipersetujui yang dimasuki pentadbiran Najib Razak bersama Ipic dan Aabar PJS sementara menanti proses timbang tara yang dimulakan oleh Ipic dan Aabar PJS di London.
Peguam Negara Tommy Thomas dalam kenyataan berkata dengan keputusan Mahkamah Rayuan ini, permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan award yang dipersetujui kini akan diteruskan ke perbicaraan di Mahkamah Tinggi di London.
Mahkamah Rayuan juga mengarahkan prosiding timbang tara yang dimulakan secara serentak oleh Ipic dan Aabar PJS ditangguhkan.
Thomas berkata 1MDB dan MKD memfailkan prosiding mahkamah pada Oktober 2018 atas alasan award yang dipersetujui dan surat-surat ikatan penyelesaian “dipergunakan oleh Najib Razak dan individu-individu lain, sebagai sebahagian daripada konspirasi untuk menipu, dan Ipic dan Aabar PJS mengetahui tindakan Najib bercanggah dengan kepentingan 1MDB dan MKD”.
“Sekiranya berjaya, Malaysia akan dapat meneruskan untuk menuntut, selain daripada hak-hak Malaysia yang lain, untuk mendapatkan semula AS$3.5 billion yang dibayar menggunakan wang 1MDB kepada anak-anak syarikat Ipic.
“Permohonan pengetepian ini kini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di London sebagai sebahagian daripada suatu proses yang terbuka dan telus bagi membolehkan rakyat Malaysia dan seluruh dunia mengikuti perkembangan prosiding tersebut di mahkamah.
“Pendirian kami surat-surat ikatan penyelesaian yang ditandatangani pada bulan April 2017, selanjutnya berperanan untuk menghalang apa-apa cubaan yang sah untuk mencabar penyelesaian tersebut, dengan memasukkan satu syarat tiada prosiding mahkamah boleh dimulakan bagi mengetepikan award yang dipersetujui yang dimasuki susulan surat-surat ikatan penyelesaian tersebut,” katanya.
Menurut surat-surat ikatan penyelesaian itu, Thomas mendapati denda dalam sejumlah wang yang besar akan dikenakan sekiranya berlaku apa-apa pengingkaran.
Canselor Geoffrey Vos, ketika menyampaikan penghakiman sebulat suara Mahkamah Rayuan, berkata “terma-terma surat-surat ikatan penyelesaian dengan jelas menunjukkan suatu percubaan untuk menyukarkan pemohon-pemohon (1MDB dan MKD) melaksanakan hak mereka untuk mencabar award yang dipersetujui dalam timbang tara yang pertama bawah seksyen-seksyen 67 dan 68”.
“Proses timbangtara yang kedua pula diteruskan sebagai ugutan perundangan untuk mengenakan denda yang berat ke atas pemohon-pemohon kerana cuba untuk menggunakan hak-hak mereka yang telah pun dipersetujui. Bagaimanapun, berdasarkan keadaan kes ini, satu-satunya budi bicara yang boleh dilaksanakan adalah untuk mengeluarkan suatu injunksi bagi menyekat proses timbang tara yang kedua.
“Permohonan-permohonan mahkamah akan diteruskan untuk mengenalpasti keesahan award yang dipersetujui, dan adil dan sesuai timbang tara kedua tidak diteruskan sehinggalah perkara itu dapat diputuskan. Injunksi ini akan menghentikan tindakan defendan-defendan yang menyukarkan keadaan.”
Thomas berkata berbilion dolar wang pembayar cukai disalahgunakan dalam skandal 1MDB.
“Tugas untuk menghadapkan pelaku-pelaku salah ini rumit dan mencabar memandangkan transaksi-transaksi dibuat merentasi batas-batas bidang kuasa serta melibatkan ramai individu dan banyak entiti-entiti.”