Zakir Naik ancam saman ahli Parlimen kerana kaitkan dengan tangkapan LTTE

Zakir Naik ancam saman ahli Parlimen kerana kaitkan dengan tangkapan LTTE

Charles Santiago didakwa mencadangkan penangkapan 2 Adun DAP itu mungkin tindak balas terhadap kritikan terhadap Naik.

Peguam Zakir Naik mendakwa kenyataan yang didakwa itu menggambarkan Naik sebagai ‘dalang’ tangkapan berkaitan LTTE.
PETALING JAYA:
Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Charles Santiago kerana memfitnah, mendakwa ahli Parlimen itu mengaitkannya dengan penangkapan 2 ahli DAP atas dakwaan terlibat dengan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kenyataan yang dipersoalkan itu dikatakan dibuat semalam, dengan Santiago dilapor mempersoalkan masa tangkapan yang berlaku pada malam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.

Peguam Naik dalam notis tuntutan mereka mendakwa kenyataan Santiago menggambarkan penceramah itu ada “urusan-urusan yang melalui pintu belakang” dengan pihak berkuasa, memanipulasikan mereka untuk mengalih perhatian daripadanya selepas beliau mencetuskan kontroversi beberapa bulan lepas.

Peguam Naik juga berkata kenyataan yang didakwa itu menggambarkan Naik sebagai “dalang” penangkapan dan beliau digunakan pihak tertentu untuk manfaat politik.

“Kami diarah untuk menyatakan kenyataan fitnah tersebut jelas digerakkan oleh niat jahat, kebencian dan/atau untuk menyakitkan hati.

“Kami juga diarah untuk menyatakan kenyataan fitnah itu tidak berasas, direka, tidak benar dan khalayan,” kata surat tuntutannya.

Naik menggesa Santiago menarik balik kenyataannya dan artikel itu diturunkan, dan menuntut satu permohonan maaf terbuka daripada ahli Parlimen itu disiarkan dalam tempoh 48 jam selepas menerima surat itu.

Santiago ketika dihubungi FMT berkata beliau sedang berbincang dengan peguamnya bagi menentukan tindakan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.