
Dalam satu kenyataan beliau berkata, ketidakmampuan PH menyelesaikan isu peralihan kuasa memberi gambaran tentang wujudnya “kepentingan yang berpengaruh” yang mahu Mahathir menyudahkan tempoh sebagai perdana menteri.
“Pendirian tidak konsisten mengenai isu peralihan kuasa kelihatan memberi kesan buruk kepada PH secara keseluruhan,” katanya.
“Amanah dan PPBM hilang sokongan orang Melayu. PKR berpecah belah. Orang bukan Melayu, terutama orang Cina, mula meninggalkan DAP.
“Sama ada PH boleh bertahan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang bergantung pada persoalan peralihan kuasa.”
PH mengalami kekalahan teruk dalam PRK Tanjung Piai 16 Nov lepas di tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti lebih 15,000 undi.
Pakatan kerajaan itu tewas dalam 4 daripada 9 PRK yang diadakan selepas ia memenangi pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.
Ramasamy yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, “kesan kerosakan” ke atas PH tidak dapat dihindari dengan mengadakan post-mortem berkaitan kekalahan di Tanjung Pia atau meningkatkan pencapaian menteri dan pemimpin.
“Semakin lama isu peralihan kuasa dilengahkan tanpa penyelesaian, maka semakin lama pula PH akan menderita.
“Pemimpin parti komponen PH tidak harus berada dalam delusi seolah-olah mereka akan memenangi semula hati dan minda rakyat.
“Sikap bertangguh atau berlengah-lengah bukanlah masalah kepada Mahathir. Ia akan menyebabkan PH kalah dalam pilihan raya umum akan datang.”