2 aplikasi semak status halal kurang dapat sambutan, kata Fuziah

2 aplikasi semak status halal kurang dapat sambutan, kata Fuziah

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rakyat masih tidak tahu kewujudan aplikasi 'Smart Halal' dan 'Verify Halal'.

Aplikasi ‘Smart Halal’ dilancarkan pada Oktober 2017.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengakui aplikasi menentukan status halal sesuatu produk atau pensijilan premis perniagaan kurang mendapat sambutan kerana majoriti rakyat tidak tahu kewujudan “Smart Halal” dan “Verify Halal”.

“Saya setuju aplikasi ‘Verify Halal’ tidak diketahui dan tidak digunakan orang awam, mungkin dari segi makluman saya juga pernah tegur berkenaan perkara ini kerana ia tidak diketahui orang ramai.

“Ia aplikasi bagus, tapi orang awam tidak tahu tentang aplikasi tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai punca aplikasi semakan status halal itu kurang mendapat sambutan dengan hanya 100,000 rakyat menggunakannya sehingga bulan ini.

Aplikasi “Smart Halal” dan “Verify Halal” dilancarkan pada 2017.

Fuziah berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri sentiasa mengambil berat isu melibatkan pensijilan halal dan melakukan pemantauan ke atas premis perniagaan.

“Undang-Undang sedia ada memperuntukkan penggunaan logo halal tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah adalah satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“… kesalahan di bawah akta ini boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu atau sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan, jika sabit kesalahan.”

Denda lebih RM5 juta guna agama halalkan produk

Fuziah mengingatkan pengusaha supaya tidak menggunakan ayat al-Quran sebagai hiasan atau jenama dan nama produk bercirikan Islam untuk memperdaya pengguna.

“Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, (mereka boleh) didenda tidak melebihi RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, (mereka boleh) didenda tidak melebihi RM10 juta.

“Jika mereka bukan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.