Selangkah lagi ketua Wanita Umno diangkat setaraf timbalan presiden

Selangkah lagi ketua Wanita Umno diangkat setaraf timbalan presiden

Ia bagi membolehkan ketua Wanita memikul peranan sebagai presiden atau timbalan presiden parti sewaktu mereka tidak dapat menjalankan tugas atas sebab tertentu.

Anggota sayap Wanita Umno sewaktu Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata, langkah meminda perlembagaan parti itu akan dibuat esok bagi membolehkan ketua sayap itu diangkat setaraf dengan jawatan timbalan presiden.

Beliau berkata, usul itu akan dibentangkan dan diputuskan pada mesyuarat agung tahunan parti esok, sambil menambah ia pertama kali akan dibentangkan secara rasmi.

“Ini kali pertama dibawa ke resolusi dan pindaan perlembagaan. Sebelum ini, hanya perbincangan di peringkat Majlis Tertinggi dan peringkat pengurusan sahaja.

“Sebelum ini, ia hanya perbincangan tidak rasmi, tetapi kali ini ia dibincangkan secara rasmi dan akan dibawa secara rasmi untuk pindaan perlembagaan.

“Kami telah mengadakan pertemuan di peringkat akar umbi, dan Insya-Allah akan dipersetujui,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Umno 2019 di sini hari ini.

Menurut Noraini, jawatan yang hendak diwujudkan itu bukan berasingan dengan timbalan presiden, cuma bagi membolehkan ketua Wanita memainkan peranan sebagai presiden atau timbalan presiden sewaktu mereka tidak dapat menjalankan tugas masing-masing atas sebab tertentu.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada “perjanjian baru” Umno untuk memperkasakan wanita, sambil menambah bahawa perkara itu telah dibincangkan selama hampir 10 tahun.

“Wanita Umno, kalau ikut keahlian dalam Umno, kita yang paling ramai. Dan pemerkasaan wanita di dalam parti ini, yang itu yang saya nak ucap ribuan terima kasih kepada presiden parti dan pimpinan parti yang memberikan kepercayaan untuk wanita membawa idea dan membawa usul supaya jawatan ketua wanita itu setaraf dengan timbalan presiden.

Beliau menambah “tidak mustahil” untuk wanita menjadi presiden parti suatu hari nanti, tetapi bergantung kepada penerimaan perwakilan dan ahli.

“Kita tengok dah, faktanya wanita telah menjadi pemimpin di seluruh dunia, dan ini satu pengikitirafan kepada Wanita Umno, kami mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti,” katanya.

Terdahulu ketika berucap pada perhimpunan itu, Noraini memberi amaran kepada ahli supaya tidak terlalu yakin dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) tahun ini.

Mengambil contoh PRK Sungai Besar pada 2016, beliau berkata BN menang besar ketika itu, namun pada pilihan raya umum (PRU) 2018, mereka kehilangan kerusi tersebut.

“Konsensus PRK dan PRU sangat berbeza. Mungkin kemenangan yang dikecapi oleh kita bukan disebabkan kita kuat, tetapi rakyat hanya mahu memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kita harus berhati-hati, peka, dan sentiasa bersiap-sedia.

“Justeru, sewajarnya kita mengatur langkah awal, langkah yang hebat, dan langkah-langkah yang lebih mantap supaya momentum sokongan tidak hilang menjelang PRU15,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.