Azmin pertahan Anwar daripada dakwaan ‘serang’ Yusoff Rawther

Azmin pertahan Anwar daripada dakwaan ‘serang’ Yusoff Rawther

Timbalan presiden PKR menyifatkan dakwaan itu perbuatan keji dan tidak bermoral, serta pimpinan tertinggi parti menolak politik keji dan kotor.

Azmin Ali (duduk, dua dari kanan) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka malam tadi.
AYER KEROH:
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mempertahankan Anwar Ibrahim daripada dakwaan presidennya melakukan jenayah terhadap cucu seorang aktivis pengguna terkenal tahun lalu.

Beliau yang menyifatkan dakwaan itu sebagai perbuatan keji dan tidak bermoral, berkata pimpinan tertinggi parti menolak politik keji dan kotor.

“Anwar telah lakukan penjelasan pada awal hari ini (semalam). Kita mahu pihak yang tak setuju berdepan dengan hujah dan cadangan sihat, bukan terjemurus dengan amalan fitnah dan keji,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Wanita dan Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) malam tadi.

Kelmarin, Muhammed Yusoff Rawther, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya, pada satu sidang media mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.

Dia bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini menuduh Farhash menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.

Anwar menolak dakwaan itu dengan berkata, ia tindakan bekas kakitangannya yang cuba mencemarkan reputasinya dan beliau sudah membuat laporan polis mengenainya.

Katanya, peguam Ramkarpal Singh turut mengeluarkan notis undang-undang kepada Yusoff untuk membuat penjelasan atau berdepan saman fitnah.

Azmin berkata, Anwar mengambil langkah wajar dengan membuat laporan polis dan PKR menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasatnya.

“Siapa yang terlibat dalam budaya ini mesti dihukum kerana kita mahu suasana masyarakat yang bersih,” kata menteri hal ehwal ekonomi itu yang terpalit kontroversi video seks sejenis 6 bulan lalu, tetapi dinafikannya.

“Kita tumpu pada isu dasar, masa depan negara dan rakyat. Rakyat hari ini mengalami kesusahan dan tanggungjawab kita sebagai sebuah kerajaan untuk bantu rakyat yang perlukan bantuan.”

Pemecatan Zakaria

Mengenai tuntutan permohonan maaf daripada Anwar atas pemecatan bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid, Azmin berkata, biar proses rayuan berjalan terlebih dahulu.

Katanya, beliau meletakkan keyakinan terhadap Lembaga Disiplin PKR.

“Kita kena hormat proses itu,” katanya ringkas.

Azmin dan 19 ahli MPP, termasuk ahli Parlimen dan Adun menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR memecat Zakaria yang disifatkan tidak sah dan cacat kerana tidak melalui proses sewajarnya.

Mereka turut menuntut Anwar memohon maaf atas “keterlanjuran” keputusan itu yang tidak mendapat sokongan 2/3 ahli MPP.

Pada 24 Nov lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim mengumumkan pemecatan Zakaria dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi kerana terbabit dalam rasuah pada pemilihan parti tahun lalu.

Katanya, PKR menerima surat dan bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 23 Okt lalu yang mengesyorkan parti itu mengambil tindakan tatatertib ke atas 2 ahli terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.