
Anwar yang selama ini mengangkat agenda pembanterasan rasuah memberi pegawai penguat kuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi masa seminggu untuk muhasabah diri, sama ada mereka sanggup berjuang memerangi rasuah habis-habisan atau tidak.
“Sepanjang seminggu ini, tanya diri anda sama ada bersedia atau tidak untuk laksanakan tanggungjawab.
“Jika rasa tidak mampu, undur diri supaya yang lain boleh ambil alih,” tegasnya dalam ucaptama kepada ketua-ketua jabatan dan agensi penguatkuasaan terlibat memerangi jenayah kewangan.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Anwar berkata, beliau sudah hampir hilang sabar dengan kelemahan dalam usaha memerangi rasuah. Rakyat mahu lihat perkembangan sebenar, tambahnya.
“Kita mesti benar-benar tanya diri kita sama ada kita sedia laksana pembaharuan dan buat perkara yang betul demi menyelamatkan negara.
“Dan saya kata begini kerana kesabaran saya sudah tipis,” katanya.
Beliau berkata, menganggap rasuah, penyeludupan dan jenayah terancang sebagai kebiasaan hanya akan memadamkan pencapaian yang dikecapi negara.
Justeru, Anwar menuntut jabatan terlibat bergerak sederap sebagai satu pasukan dan menggesa para pegawai agar tidak bertindak sambil lewa atau meremehkan isu-isu ini.
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar kemudian menyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dipertingkat, memfokuskan semula kepada pembanterasan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam.
“Tahun ini, kita akan perbanyakkan penguatkuasaan, dan kita akan (sasarkan untuk) basmi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada wartawan selepas acara.
Beliau berkata, 2026 menuntut pelaksanaan yang lebih jitu bagi memastikan pematuhan dan tata kelola dituruti.
Pada Ogos, Anwar mengakui usaha memerangi rasuah sesuatu yang mencabar, dengan berkata, ketamakan dan kecenderungan salah guna kuasa sudah berakar umbi dalam kalangan mereka yang berpengaruh dari segi politik.
Usaha memerangi rasuah pada skala besar bukan mudah kerana individu-individu ini akan ‘cuba sabotaj dan halang tindakan diambil’.