Biar jawatankuasa khas teliti dahulu dakwaan babit Azam, kata PM

Biar jawatankuasa khas teliti dahulu dakwaan babit Azam, kata PM

Anwar Ibrahim berkata sebarang tindakan lanjut terhadap Azam Baki perlu menunggu siasatan jawatankuasa khas diketuai Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa khas akan meneliti menyeluruh dakwaan membabitkan Azam Baki. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas diberi ruang menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Anwar berkata jawatankuasa khas diketuai Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar akan melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap dakwaan dilaporkan agensi berita antarabangsa Bloomberg itu.

“Tadi KSN (Shamsul Azri) beri maklumat awal belia kata biar tubuh dulu jawatankuasa khas tengok kes dengan teliti bersama peguam negara dan ketua perkhidmatan awam.

“Biar KSN kaji dulu… kena tahu apakah serius dan ada asas? Baru kita maju (ambil tindakan selanjutnya),” katanya sambil meminta dakwaan itu tidak digunakan bagi menekan.

Beliau berkata demikian selepas solat Jumaat di Surau Pusat Islam Jabatan Pengajian Islam, Politeknik Shah Alam.

Anwar mengulas sama ada Azam perlu berehat daripada tugasan susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini yang bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan membabitkan ketua agensi antirasuah itu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mahu dakwaan terhadap Azam itu menganggu siasatan SPRM dalam membongkar aktiviti rasuah dalam negara termasuk berprofil tinggi.

“Saya tidak mahu ini (tuduhan terhadap Azam) menganggu peranan SPRM keseluruhannya kerana tentunya ada usaha-usaha untuk mengekang terutama bila mereka (SPRM) ambil tindakan tegas.

“Saya tegaskan kepada SPRM jangan peduli pandangan-pandangan lain, mereka mesti jalan tugas dengan berani dan tegas.

“Negara ini mesti diselamatkan dari angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh,” katanya.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.