Atasi penyakit ‘parti dalam parti’ jika mahu menang PRU, kata Wanita Umno

Atasi penyakit ‘parti dalam parti’ jika mahu menang PRU, kata Wanita Umno

Rahimah Mahamad berkata, amalan berpuak-puak di setiap peringkat ialah kelemahan dalaman Umno yang perlu ditangani segera sebagai persediaan untuk merampas semula tampuk pemerintahan daripada PH.

Ketua Wanita Umno Kelantan, Rahimah Mahamad.
KUALA LUMPUR:
Ketua Wanita Umno Kelantan, Rahimah Mahamad berkata, penyakit “parti dalam parti” atau amalan berpuak-puak di setiap peringkat ialah kelemahan dalaman Umno yang perlu ditangani segera, jika ia mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Parti harus sentiasa bersedia untuk memastikan Umno berupaya merampas semula (tampuk) pemerintahan daripada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam sesi perbahasan usul presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Rahimah berkata, Wanita Umno tidak sanggup lagi melihat bangsa Melayu terus dihina dan dipijak maruah di negara sendiri, susulan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan beberapa pemimpin PH.

“Timbalan menteri pertanian kata Melayu macam (warga) Bangladesh.

“Kula kata Melayu sebagai pendatang dan (kaum) India sebagai penduduk asal Melayu,” katanya merujuk Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Oleh itu, katanya, kehadiran Umno sangat diperlukan untuk meleraikan kemelut politik itu.

“Selagi ada Wanita (Umno), selagi itu Melayu tak akan terbuang, Umno tak akan hilang.”

Julai tahun lalu, Kula yang juga naib pengerusi DAP mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penduduk asal di negara ini ialah penganut Hindu, manakala orang Melayu hanyalah pendatang.

Beliau kemudiannya menafikan kenyataannya diputar belit pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum dan memohon maaf selepas dikecam pelbagai pihak.

Ogos lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin didakwa menerusi Twitternya menggelar Skuad Sabil yang ditubuhkan Pemuda Umno sebagai “Pak Guard dari Bangladesh”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.