
“Dakwaan Wanita Umno akan boikot di PRK Mahkota tidak betul. Gerak kerja akan diteruskan seperti biasa dan Wanita Umno akan memastikan BN menang di PRK Mahkota,” kata Ketuanya Noraini Ahmad kepada FMT.
Terdahulu, sumber dalam Wanita Umno mendakwa sayap itu mungkin memboikot kempen BN pada PRK Mahkota dan buat masa ini, semua program diatur sayap berkenaan sudah dibatalkan.
“Pemimpin dan ahli wanita Umno masih kecewa tidak dipilih menjadi calon di PRK DUN Mahkota. Kerusi itu sepatutnya kerusi tradisi Wanita Umno dan tidak diberikan kepada Pemuda Umno,” kata sumber.
Sabtu lalu, Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Mahkota.
PRK Mahkota akan diadakan 28 Sept ini susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita Umno Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi DUN itu daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.
Sementara itu, Pemangku Ketua Wanita Umno Kluang, Zainani Jamaluddin yang senada dengan Noraini berkata, beliau tidak mendengar isu boikot kempen calon BN pada PRK Mahkota.
Sebelum ini, Zainani antara nama disebut akan dipilih sebagai calon BN bagi PRK Mahkota.
Beliau berkata, Wanita Umno ada di semua pusat daerah mengundi (PDM) PRK Mahkota.
“Untuk makluman, kita baru mengadakan program Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Naib Ketua Wanita Umno, Norliza Abdul Rahim di Kluang.
“Saya tak nampak gerakan (boikot) itu. Boleh periksa sendiri. Kena lihat sendiri dan tidak boleh dengar saja sebab kita di peringkat bahagian Kluang, memang gerak seiring dan sepakat terima keputusan parti.”