Yusoff Rawther buat laporan terhadap Anwar, serah akuan berkanun

Yusoff Rawther buat laporan terhadap Anwar, serah akuan berkanun

Lelaki itu mendakwa beliau diugut selepas mendedahkan jenayah yang dilakukan seorang ahli politik kanan terhadapnya tahun lalu.

Muhammed Yusoff Rawther menunjukkan laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
PETALING JAYA:
Muhammed Yusoff Rawther membuat laporan polis terhadap Anwar Ibrahim atas dakwaan satu jenayah pada tahun lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu menyerahkan akuan berkanunnya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pagi tadi.

Beliau mahu polis menyiasat kejadian yang diterangkan secara terperinci dalam akuan berkanunnya.

Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal, SM Mohamed Idris, dalam laporan polisnya turut mendakwa beliau diugut sesetengah pihak selepas mengadakan sidang media untuk mendedahkan perkara itu.

Dalam sidang media pada Rabu lalu, Yusoff mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah terhadapnya yang disifatkan “tidak Islamik, perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, serta tidak bermoral”.

Anwar bagaimanapun menolak dakwaan itu dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan beliau sudah membuat laporan polis mengenainya.

Beliau berkata, peguamnya Ramkarpal Singh sudah mengeluarkan notis undang-undang 7 hari kepada Yusoff menuntut beliau menarik balik dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.