Mana janji PRU14 peruntuk cukup tanah bina kuil, MIPP persoal PH

Mana janji PRU14 peruntuk cukup tanah bina kuil, MIPP persoal PH

MIPP berkata, PH juga janji hanya akan pindah kuil Hindu selepas runding komuniti tempatan dan jamin tapak gantian sesuai.

PUNITHAN PARAMSIVEN
Presiden MIPP P Punithan dakwa pertikaian semasa mengenai kuil yang dibina tanpa kelulusan boleh dielak jika PH tunai janji pilihan raya yang dibuat pada 2018.
PETALING JAYA:
Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempersoalkan komitmen Pakatan Harapan (PH) terhadap janji yang dibuatnya pada PRU14 untuk memperuntukkan tanah mencukupi bagi tanah perkuburan dan kuil Hindu.

Presidennya, P Punithan berkata, PH juga pernah berjanji menubuhkan lembaga wakaf Hindu di setiap negeri bagi menguruskan dana dan aset komuniti itu, termasuk wang, tanah dan hartanah.

Katanya, PH juga pernah berjanji untuk hanya memindahkan kuil atau tanah perkuburan selepas rundingan dengan komuniti tempatan serta menjamin tapak gantian yang sesuai.

Menegur kegagalan PH menunaikan janji, Punithan mendakwa jika langkah itu dilaksanakan, pertikaian berkaitan kuil yang dibina tanpa kelulusan tidak akan timbul.

“Janji tersebut bukan samar-samar, tetapi jelas dan bertulis … Namun sehingga hari ini, sebahagian besar janji ini gagal dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Punithan juga berkata, kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk ‘membersihkan’ kawasan yang menempatkan kuil tanpa kelulusan sah, ‘menimbulkan keresahan dan kekecewaan mendalam’ dalam kalangan penganut Hindu.

“Komuniti India tidak menuntut keistimewaan. Kami menuntut keadilan, konsistensi dasar, dan penghormatan terhadap janji politik,” tambahnya.

Punithan menjelaskan, beliau merujuk kepada janji-janji dalam Buku Harapan, manifesto PH bagi PRU14, bukan manifesto gabungan itu sewaktu PRU15 pada 2022 yang membawa kepada pelantikan Anwar sebagai perdana menteri.

Semalam, Anwar menegaskan, kerajaan tidak lagi membenarkan pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan kini diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan, namun menegaskan pihak yang menggesa kuil diroboh juga salah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau minggu lepas berkata, banyak kuil Hindu di seluruh negara belum diwartakan sebagai rumah ibadat rasmi berikutan isu tanah yang berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, banyak kuil-kuil ini dibina di kawasan estet sejak zaman penjajahan dan selepas merdeka, menegaskan ia bukan ‘perbuatan melanggar undang-undang’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.