Keharmonian lahir apabila saling menghormati, memahami satu sama lain

Keharmonian lahir apabila saling menghormati, memahami satu sama lain

Perbezaan harus jadi ruang memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka, dan memilih dialog, tegas perdana menteri.

Anwar Ibrahim
Malaysia gagah apabila keharmonian, rasa hormat, dan ihsan pegangan bersama, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya terus memelihara keharmonian sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Anwar dalam ucapannya menyatakan Tahun Baharu Cina mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

Katanya, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan pada Tahun Kuda ini, seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.

Memetik ajaran Confucius, Anwar menulis keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain — asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan.

“Tatkala wacana awam semakin mudah diganggu emosi dan hasutan, kita tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis rasa percaya yang telah terbina antara rakyat sejak sekian lama,” katanya di Facebook.

“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan.”

Anwar menyuarakan keyakinan Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.