Saya tidak bincang kes Rafizi dengan pengerusi SPR, kata peguam negara

Peguam Negara Tommy Thomas.

PETALING JAYA: Peguam Negara Tommy Thomas hari ini berkata, beliau tidak berbincang dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun kes mahkamah melibatkan naib presiden PKR Rafizi Ramli.

“Ya, saya tidak bercakap dengannya (Azhar) mengenainya,” kata beliau menjelaskan laporan theedgemarkets.com pada Jumaat yang memetiknya berkata demikian, lapor portal berita itu hari ini.

“Berhubung rayuan terhadap pembebasan itu, kami sudah pasti akan menariknya balik,” tambah beliau.

Azhar hari ini mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan bahawa beliau tidak membincangkan kes Rafizi dengan Tommy.

Katanya, beliau menyokong kuat prinsip pemisahan kuasa dan tidak mempunyai sebab untuk membincangkan kes tersebut dengan peguam negara.

Pada 15 Nov, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan Rafizi selepas membatalkan sabitan beliau tahun lepas kerana mendedahkan akaun bank membabitkan National Feedlot Corp (NFC) dan pengerusinya Salleh Ismail.

Jumaat lepas, peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustapha memberitahu pemberita beliau dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara bahawa ia akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan itu.

Berikutan itu Tommy berkata, beliau terkejut dengan pemfailan rayuan tersebut kerana pegawainya telah diarahkan tidak berbuat demikian.