Tuduhan bunuh dalam kes kemalangan maut keterlaluan, kata bekas timbalan menteri

Tuduhan bunuh dalam kes kemalangan maut keterlaluan, kata bekas timbalan menteri

Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin kata tuduhan bunuh tanpa niat adalah lebih wajar dan adil.

pemandu mabuk klang
Pembantu makmal R Saktygaanapathy, 28, didakwa atas tuduhan membunuh penghantar barang Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, Klang, pada 29 Mac lalu.
PETALING JAYA:
Seorang bekas timbalan menteri undang-undang menyifatkan pertuduhan bunuh yang dikenakan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kemalangan maut ketika memandu di bawah pengaruh dadah sebagai berlebihan dan terlalu keras.

Bekas Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin berkata sukar untuk melihat bagaimana kematian Amirul Hafiz Omar, 33, yang dilaporkan secara meluas boleh dianggap sebagai perbuatan yang disengajakan.

Beliau berkata pertuduhan di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan, atau di bawah peruntukan berkaitan dalam Akta Pengangkutan Jalan, adalah lebih sesuai.

Seksyen 304 merujuk kepada kesalahan membunuh tanpa niat, manakala Seksyen 304A meliputi perbuatan memandu dengan melulu atau cuai hingga menyebabkan kematian.

“Walaupun memandu di bawah pengaruh dadah merupakan kesalahan serius di seluruh dunia, kebanyakan bidang kuasa lazimnya mendakwa kemalangan maut sebagai ‘membunuh tanpa niat menggunakan kenderaan’ atau ‘cuai hingga menyebabkan kematian’, bukannya bunuh.

“Dengan segala hormat kepada peguam negara, keputusan untuk meneruskan pertuduhan bunuh dilihat berlebihan dan terlalu keras pada pandangan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanipa mengakui kes itu mendapat perhatian umum, khususnya kerana Amirul merupakan bapa kepada tiga anak dan membuat dua pekerjaan bagi menyara keluarganya.

Bagaimanapun, wakil Parti Amanah Negara itu menegaskan bahawa pertuduhan membunuh tanpa niat adalah lebih wajar dan adil berbanding pertuduhan membunuh.

Pada 1 April, pembantu makmal R Saktygaanapathy, 28, berdepan hukuman mati selepas didakwa atas pertuduhan membunuh susulan kemalangan yang menyebabkan kematian Amirul di Jalan Raya Barat, Klang, pada 29 Mac lalu.

Dia turut didakwa mengambil dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol, dan mengaku salah atas tuduhan tersebut.

Peguam Negara, Dusuki Mokhtar mempertahankan keputusan untuk mendakwa Saktygaanapathy atas pertuduhan bunuh dengan merujuk kepada Seksyen 300 Kanun Keseksaan, yang memperincikan takrifan bunuh.

Jelas beliau, tindakan tertuduh didakwa sengaja memasuki laluan bertentangan pada kelajuan tinggi, sekali gus mewujudkan keadaan yang ‘amat berbahaya serta-merta’ kepada si mati, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.

Undang-undang berkenaan terpakai apabila seseorang melakukan perbuatan dengan mengetahui bahawa ia begitu berbahaya sehingga berkemungkinan besar menyebabkan kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.