Sabah umum 2 hari cuti Krismas mulai tahun ini

Sabah umum 2 hari cuti Krismas mulai tahun ini

Ketua menteri Sabah berharap cuti tambahan pada 24 Dis dapat dimanfaatkan mereka yang meraikan perayaan itu.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah mengisytiharkan 24 Dis sebagai cuti am tambahan untuk sambutan Krismas bermula tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata, pengumuman itu akan menjadikan tambahan satu hari lagi cuti am, termasuk 25 Dis.

“Perkara ini kita telah putuskan dalam mesyuarat Kabinet dan saya berharap cuti tambahan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada mereka yang menyambut perayaan ini.

“Cuti am tambahan ini dapat membolehkan mereka yang merayakan Krismas pulang ke kampung masing-masing lebih awal,” katanya pada Majlis Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 malam tadi.

Turut hadir ialah 3 Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Madius Tangau, Jaujan Sambakong dan Christina Liew serta beberapa menteri kabinet negeri.

Mengenai sambutan itu, Shafie berkata, sambutan berkenaan menjadi lambang perpaduan utuh dan keharmonian pelbagai kaum serta agama di Sabah.

“Keharmonian adalah kunci utama kepada pembangunan dan kemajuan negara kita. Oleh itu, kita perlu mengekalkan perpaduan ini demi Sabah yang tercinta.

“Pada hemat saya, tema pada malam ini iaitu ‘Ketulenan dalam keharmonian’ tepat pada masanya. Perpaduan wujud melalui keharmonian dan keharmonian akan menjadi sumber kekuatan, sama ada dalam waktu sukar mahupun waktu senang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.