Dr M mahu Sabah, Sarawak pertimbang cadangan miliki saham Petronas

Dr M mahu Sabah, Sarawak pertimbang cadangan miliki saham Petronas

PM mempelawa Sarawak dan Sabah meneroka gagasan 3 wilayah - Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah - untuk memiliki kepentingan dalam Petronas.

Petronas adalah syarikat minyak dunia dengan konsesi di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Utara dan Kanada. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu Sarawak dan Sabah menimbang kedudukan Petronas sebagai syarikat minyak dunia semasa mengkaji cadangan untuk memiliki kepentingan dalam syarikat itu.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata Mahathir membuat saranan itu pada pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, di Putrajaya pada Isnin.

Dalam pertemuan selama 90 minit itu, perdana menteri mempelawa Sarawak dan Sabah untuk meneroka gagasan 3 wilayah – Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah – untuk memiliki kepentingan dalam Petronas.

“Ini mengambil kira mengenai kedudukan syarikat minyak negara itu sebagai syarikat minyak global, dengan konsesi di luar negara, terutama di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Utara, terutama di Kanada,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam pertemuan tersebut, Abang Johari memaklumkan kepada Mahathir bahawa Sarawak perlu mengkaji cadangan itu secara mendalam, dan mahu mengukuhkan penyertaan syarikat minyak dan gas milik negeri itu, Petros, dalam aktiviti hiliran dan huluan industri di Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.