
Mereka berkata kes Azilah di Mahkamah Persekutuan menjadi lebih menarik kerana dia melampirkan akuan berkanun (SD) bahawa bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan “tembak dan bunuh” Altantuya.
“Bagaimanapun, beban terhadap Azilah adalah untuk menjustifikasi mengapa mahkamah mesti memohon bidang kuasanya (di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan) untuk menyemak semula kes itu,” kata peguam Baljit Sidhu.
Beliau mengulas permohonan Azilah untuk mengetepikan sabitan pada 2015 dan memerintahkan perbicaraan semula di Mahkamah Persekutuan.
Peguam itu berkata Aturan 137 untuk mengelak ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah, dan Azilah mesti menunjukkan bahawa keterangan dalam akuan SD tidak tersedia semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
“Jika dia berjaya, maka perbicaraan semula boleh diperintah, jika tidak, penghakiman Mahkamah Persekutuan kekal,” katanya.
Sekiranya penghakiman itu kekal, Baljit berkata pilihan terakhir Azilah adalah mendapatkan pengampunan dari Sultan Selangor.
Sementara itu, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata jika Mahkamah tertinggi membenarkan permohonan Azilah dan membuat perintah perbicaraan semula di Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan perlu memanggil semula saksi-saksi untuk membuktikan dakwaan pembunuhan terhadap Azilah.
“Tetapi pendakwa raya juga boleh menarik balik pertuduhan kerana dia dibenarkan berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.
Seorang lagi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata SD kini menjadi asas bagi polis menjalankan siasatan baru ke atas pembunuhan Altantuya.
“Polis boleh memulakan siasatan dan mereka boleh menyoal siasat personaliti yang dikenal pasti dalam SD. Saya percaya mereka akan menyoal siasat Azilah terlebih dahulu,” katanya.
Rafique berkata pembacaan sepintas lalu SD mendedahkan kesalahan berkaitan subahat atau menyembunyikan rekaan untuk melakukan kesalahan, yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
“Siasatan untuk pelanggaran konspirasi jenayah tidak boleh diketepikan,” katanya.
Peguam itu berkata pendakwa raya juga boleh menjadikan Azilah sebagai saksi jika ada orang lain didakwa berkaitan dengan pembunuhan Altantuya.
Azilah, yang disabitkan kesalahan membunuh bersama bekas polis Sirul Azhar Umar, antara lain berkata, Abdul Razak Baginda, bekas kekasih Altantuya yang dibebaskan dari tuduhan membunuh dan pegawai kanan polis, Musa Safri, tahu mengenai “arahan” daripada Najib.
Azilah dan Sirul dijatuhi hukuman mati selepas didakwa membunuh Altantuya di sebuah hutan berhampiran Shah Alam dan tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan.