Sugarbook akui tidak dapatkan kelulusan DBKL

Aplikasi mencari pasangan dalam talian, Sugarbook mengakui tidak mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlebih dahulu kerana berpendapat hanya satu kelulusan diperlukan iaitu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sehubungan itu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook, Darren Chan menyifatkan mereka telah menerima nasihat yang salah.

Dalam pada itu beliau juga berpendapat iklan Sugarbook tidak wajar diharamkan oleh kerajaan kerana ia bukan mempromosi aktiviti pelacuran.

Darren berkata, aplikasi itu diwujudkan bagi menyediakan platform temu janji untuk wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa sebarang kekangan.

“Kata kunci di sini adalah ‘pilihan’ dan Sugarbook adalah merangkumi usaha menyediakan pilihan tepat kepada pelanggannya.

“Terma ‘sugar babies’ diguna pakai kepada wanita-wanita mencari pasangan dan tidak sama sekali merujuk kepada pekerja seks secara haram.

“Mereka tidak memperdagangkan tubuh mereka untuk harta benda dan kebanyakan mereka terdiri orang biasa yang berstatus janda, suri rumah dan baru bercerai,” katanya dalam satu kenyataan yang diberikan kepada FMT Ohsem hari ini.

Sehubungan itu katanya, di sebalik kebimbangan rakyat terhadap pemasangan dua paparan iklan LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara sebelum ini, disifatkan sebagai tidak adil jika kerajaan mengambil tindakan mengharamkan aplikasi sosial itu.

“Kami bimbang tuntutan sebegini akan menafikan hak kebebasan dan kesaksamaan rakyat Malaysia,” katanya.

Sugarbook ialah aplikasi mencari pasangan atas talian yang diasaskan di Malaysia dikatakan boleh menghubungkan ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ dengan ‘sugar baby’ dari negara ini dan seluruh Asia.

‘Sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia tetapi sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda iaitu ‘sugar baby’ sebagai pertukaran kepada jalinan hubungan.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, telah mengarahkan paparan visual iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara diturunkan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menurutnya, pihak operator telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia serta perlu ditarik segera.

“Semalam DBKL telah menerima aduan yang ditularkan di media sosial berkenaan paparan iklan LED berkenaan yang sensitif dan berunsur lucah.

“Hasil siasatan DBKL mendapati pelesen struktur iklan merupakan milik YWP yang telah melantik Out of Home sebagai operator,” memetik kenyataan hari ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]