
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, pelaksanaan inisiatif itu bertujuan membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa selain memberi lebih kepastian dalam aspek perancangan operasi, pengurusan kewangan dan pembiayaan perniagaan.
“Pendekatan baharu ini juga selaras dengan usaha DBKL mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif kepada keperluan warga kota serta komuniti perniagaan,” katanya dalam sidang media.
Yeoh berkata, menerusi inisiatif ini, tempoh sah laku lesen perniagaan bagi permohonan pembaharuan lesen yang berstatus lulus tetap boleh dipanjangkan daripada satu tahun kepada dua atau tiga tahun, tertakluk kepada syarat ditetapkan, termasuk pelesen tidak mempunyai sebarang kompaun atau tunggakan bayaran sewa dengan DBKL.
Antara kategori sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun termasuk premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, penternakan dan pertanian, gudang, hotel, pembuatan, makanan dan minuman serta tred dan perniagaan.
Bagaimanapun, sektor kecantikan dan hiburan dikecualikan daripada inisiatif itu.
Sebagai galakan kepada pelesen, Yeoh berkata, DBKL turut menawarkan potongan fi lesen sebanyak 5% bagi pembaharuan dua tahun dan 10% untuk tempoh tiga tahun.
Bagaimanapun, pemegang lesen yang mempunyai tunggakan perlu menyelesaikan tunggakan terlebih dahulu sebelum layak menikmati diskaun dan pembaharuan lesen sehingga tiga tahun.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada hampir 95,000 pemegang lesen di Kuala Lumpur,” kata Yeoh.
Menurutnya, pemegang lesen masih boleh memilih pembaharuan tahunan seperti biasa, namun kemudahan baharu itu memberi lebih fleksibiliti kepada peniaga termasuk memudahkan urusan pembiayaan dengan institusi kewangan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud berkata, proses pembaharuan lesen boleh dibuat menerusi sistem e-Lesen DBKL yang ditambah baik dan hanya mengambil masa kira-kira tiga minit.
Katanya, pemegang lesen tidak perlu hadir ke pejabat kerana pembayaran boleh dibuat secara dalam talian dan lesen boleh dicetak sendiri oleh pelesen.
“Terdapat 92,263 lesen aktif direkodkan ketika ini, selain kira-kira 6,000 permohonan sedang diproses menerusi sistem berkenaan,” katanya.