NGO, wakil pengusaha ladang sokong roboh kebun haram Cameron Highlands

Antara kawasan kebun haram yang dikatakan dimusnah pihak berkuasa. (Gambar Peka)

PETALING JAYA: NGO alam sekitar hari ini menyokong langkah kerajaan Pahang memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Sharifah Sabrina Syed Akil berkata sepatutnya langkah tersebut dilaksanakan dulu lagi dan tidak membiarkan ia berleluasa sehingga sukar dibendung.

“Kami sokong langkah Pahang musnah kawasan pertanian haram, kalau boleh musnahkan semua kawasan yang tiada Lesen Pendudukan Sementara (TOL), bukan sahaja tertumpu kepada kawasan yang berisiko berlaku pencemaran sungai,” katanya kepada FMT.

Peka juga mencadangkan Pahang menanam semula pokok hutan di kawasan kebun yang dimusnah jika serius ingin menjaga alam sekitar.

“Kami setuju dengan pihak kerajaan tapi pihak kerajaan perlu tanam balik pokok-pokok hutan yang dimusnahkan, kalau nak selamatkan sungai, kita tak mahu kawasan yang dimusnah itu ditanam balik dengan sayur sebab ia tak selesai masalah.

“Kalau betul-betul nak banteras, maknanya kerajaan perlu tanam balik pokok-pokok hutan,” katanya.

Beliau berkata perbincangan secara damai perlu dilakukan dengan pekebun.

“Jika perbincangan mengikut SOP dilakukan tetapi pekebun enggan mematuhi arahan, kerajaan negeri wajar bertindak mengikut undang-undang,” katanya.

Sharifah turut meminta kerajaan Pahang mengambil tindakan di kawasan haram yang lain di negeri itu termasuk sekitar Bukit Tinggi.

“Mungkin permulaan di Cameron Highlands dan selepas ini kawasan lain juga diambil tindakan.”

Guna racun perosak

Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) juga menyokong, dan memaklumkan kajian bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia mendapati 8 jenis racun perosak yang diharamkan penggunaannya terkandung dalam air sungai dan air paip yang digunakan penduduk di Cameron Highlands.

Presiden Reach, R Ramakrishnan berkata, ia berpunca daripada aktiviti pertanian haram di sekitar kawasan itu.

Polis terpaksa dikerah untuk meredakan kumpulan yang memprotes tindakan meroboh kebun haram di Kuala Terla, Cameron Highlands. (Gambar polis)

“Semasa kami jalankan kajian air, dari Kuala Terla sampai ke Tanah Rata dan kami dapati air minum itu ada 8 jenis racun yang diharamkan.

“Racun ini dibawa masuk ke Malaysia secara seludup, tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa Malaysia,” katanya sambil memaklumkan pihaknya terkejut apabila mendapati tiada hidupan di beberapa sungai ketika membuat kajian.

Antara racun perosak yang ditemui termasuklah endosulfan, endrine ketone, aldrin dan DDE.

Beliau tidak menolak kesan daripada pencemaran itu boleh menyebabkan risiko penyakit barah, keguguran, lahir pramatang dan sebagainya.

Sementara itu, wakil pengusaha ladang di Cameron Highlands, S Kanatazan meminta peladang akur dengan langkah kerajaan negeri sambil mengakui terdapat lambakan kebun haram wujud sejak 10 tahun kebelakangan ini.

Katanya, pihak yang dikenakan tindakan tidak sepatuhnya berdegil dengan arahan kerajaan negeri kerana mereka diberi masa cukup lama.

“Mereka yang meneroka tanah haram ini sebenarnya diberi masa lama sejak 10 tahun, malah kawasan baru juga disediakan oleh kerajaan negeri tetapi ada separuh yang setuju pindah dan segelintir masih berdegil tidak mahu pindah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa bertindak.

“Pekebun yang degil tidak boleh kata kerajaan kasar sebab masa sudah diberi lama, kena hormat keputusan mereka,” katanya.

Pihaknya juga berharap isu perobohan kawasan ladang oleh kerajaan negeri tidak dipolitikkan.

“Isu ini bagi saya telah dipolitikkan, kalau tidak silap saya, sebenarnya dalam bulan lepas satu jawatankuasa pemantauan yang diketuai oleh timbalan perdana menteri di mana kerajaan negeri dan persekutuan bersatu menubuhkan satu jawatankuasa untuk banteras aktiviti peneroka haram.

“Kerajaan negeri beri banyak kelongaran kepada pekebun kecil, tapi isu ini menjadi sensitif disebabkan ia berdekatan kawasan tadahan air,” katanya mengulas kritikan parti politik susulan perobohan tersebut.

Semalam berlaku kekecohan sekitar jalan Ipoh, Kuala Terla di Cameron Highlands gara-gara sekumpulan 200 orang, termasuk pekebun melakukan protes terhadap tindakan penguatkuasaan perobohan kebun haram di Sungai Ichat oleh kerajaan Pahang.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Sallehuddin Ishak berkata notis pengosongan tanah dikeluarkan sejak 19 Ogos 2009 namun aktiviti penerokaan tanpa izin masih diteruskan dan notis selanjutnya dikeluarkan pada 18 Feb lalu sebelum tindakan penguatkuasaan peringkat pertama melibatkan 11 kawasan penerokaan dilaksanakan pada 25 Feb sehingga 19 Mac.

Notis pengosongan peringkat kedua kepada baki 37 penerokaan tanpa izin dikeluarkan pada 14 Mac 2019.