
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, dalam operasi yang bermula kelmarin sehingga semalam, sebanyak 28 premis didapati mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling.
“Berdasarkan rekod JAS, terdapat 46 premis kilang di Nilai, Negeri Sembilan dan 379 premis kilang di Hulu Langat, Selangor yang menjadi fokus operasi bersepadu kali ini.
“Pemeriksaan JAS ke atas keseluruhan punca premis yang berpotensi dijangka mengambil masa sehingga seminggu dari tarikh operasi bersepadu dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.
JAS berkata, pihaknya akan meneruskan pemeriksaan ke atas kilang di Hulu Langat serta Nilai, dan tindakan tegas akan diambil ke atas pelanggaran mana-mana peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Sebanyak 18 pasukan penyiasat JAS melibatkan pasukan dari ibu pejabat Putrajaya, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor digerakkan ke Nilai, Negeri Sembilan dan Hulu Langat di Selangor bagi mengesan punca pencemaran yang menyebabkan penutupan loji rawatan air Semenyih itu.
Katanya, siasatan menjurus kepada premis yang menghasilkan buangan pelarut dan minyak yang merupakan bahan pencemar yang dikenal pasti menyebabkan penutupan loji air berkenaan.