
Annuar berkata, lembaga disiplin kekal bebas seperti termaktub dalam perlembagaan parti untuk membuat sebarang siasatan dan melaporkan hasil siasatan kepada Majlis Tertinggi Umno.
“Terdapat beberapa kekeliruan berkaitan perkara dibangkitkan dan beberapa perkara ini boleh dibincangkn apabila Apandi Ali berada di Kuala Lumpur. Lembaga disiplin adalah sebuah jawatankuasa dibentuk berdasarkan perlembagaan parti dan bebas.
“Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan lembaga disiplin parti akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut bermesyuarat secara bebas dan dipengerusikan Apandi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Apandi mengesahkan dakwaan bahawa beliau meletak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku Hishammuddin.
Malah Apandi dilaporkan berkata, beliau tidak mahu dipersalahkan berhubung pembatalan sesi perjumpaan lembaga disiplin parti dengan Hishammuddin sebelum ini.
Annuar berkata, ibu pejabat Umno masih tidak menerima surat peletakan jawatan Apandi dan percaya bekas peguam negara itu masih menjawat tugas pengerusi lembaga disiplin Umno.
“Saya berkesempatan menghubungi Apandi dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara. Saya sudah di beri sedikit gambaran apa yang berlaku dan bersetuju perkara ini perlu dibincang secara tertib apabila Apandi pulang bercuti,” katanya.
Sebelum ini, Hishammuddin dipanggil lembaga berkenaan bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam sebelum ini membuat laporan berhubung pertemuan sulit Hishammuddin dan sekumpulan ahli Parlimen Umno dengan timbalan presiden PKR, Azmin Ali di rumah beliau di Shah Alam Nov lepas.
Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan itu, tetapi menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh parti berhubung perkara itu.