Tarik balik surat kebenaran dakwah di sekolah, gabungan agama beritahu Putrajaya

RS Mohan Shan berkata, beliau menerima laporan daripada pelajar beragama Hindu di maktab perguruan berhubung aktiviti penyebaran Islam.

PETALING JAYA: Gabungan agama bukan Islam terbesar di Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menarik balik surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mahu pihak terbabit mengeluarkan surat baru menyatakan program Rakan Siswa Yadim hanya akan dijalankan dalam kalangan pelajar Islam dan tidak akan membabitkan pelajar bukan Islam.

Naib Presiden MCCBCHST, RS Mohan Shan berkata, surat kebenaran asal masih ada walaupun Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan aktiviti itu ialah langkah Islamisasi oleh Yadim di sekolah.

Beliau memberitahu FMT, majlis perundingan itu bimbang wujud “niat tersembunyi” untuk menyebarkan Islam kepada pelajar bukan Islam.

Beliau yang juga presiden Hindu Sangam Malaysia, berkata pihaknya menerima laporan daripada pelajar beragama Hindu di maktab perguruan berhubung aktiviti penyebaran Islam.

MCCBCHST dalam satu kenyataan kepada FMT berkata, ia bimbang dengan surat kebenaran bertarikh 2 Okt lalu yang terbocor di media sosial untuk Yadim menjalankan kegiatan dakwah di sekolah, maktab perguruan, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan swasta terpilih di Malaysia.

“Aktiviti dakwah ini dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran dalam kalangan pelajar muda dan mudah dipengaruhi.”

Katanya, tiada niat sebaliknya ditunjukkan dalam surat kebenaran asal itu.

Ia berkata, sasaran Yadim ialah pelajar bukan Islam kerana tiada keperluan menjalankan aktiviti dakwah dalam kalangan Islam yang mengambil subjek Islam.

Katanya, surat kebenaran asal menyatakan Yadim ialah badan dakwah yang mahu menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam, termasuk mengembangkan Islam dengan melahirkan pendakwah Yadim terlatih.

“Niatnya jelas iaitu menjalankan aktiviti dakwah dengan melantik pendakwah di sekolah untuk melakukan kerja mereka.”

Katanya, untuk mengawal keadaan, Kementerian Pendidikan segera tampil menafikan dakwaan Islamisasi di sekolah.

“Tetapi, tiada jaminan diberikan dalam surat kebenaran kementerian itu. Mustahil untuk pegawai kementerian memantau ribuan sekolah dan jaminan yang diberikan tidak bermakna.”

MCCBCHST turut menggesa usaha dilakukan untuk menghalang Yadim menjalankan aktiviti dakwah di sekolah dan IPT lain.

“Sekolah ialah tempat belajar dan mengajar kemahiran sewajarnya kepada kanak-kanak. Ia bukan tempat untuk menyebarkan ajaran mana-mana agama.”