Pastikan Warisan menang agar BN tak bangkit semula di Sabah, kata Shafie

Shafie Apdal (baju putih, tengah) ketika bercakap dengan pemberita selepas penamaan calon.

BEAUFORT: Presiden Warisan Shafie Apdal menyeru pengundi di Kimanis memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang agar Barisan Nasional tidak bangkit semula di Sabah.

Beliau berkata “bukti kuat perpaduan” antara Warisan dan rakan pilihan rayanya – Upko dan Pakatan Harapan – akan memastikan BN kekal suram di negeri itu.

“Sudah cukup. BN telah memerintah Sabah selama bertahun-tahun. Saya kenal BN, saya adalah ahli dan naib presiden Umno sebelum ini.

“Kita telah mengalahkan BN pada pilihan raya umum ke-14. Sekarang kita nak pastikan mereka tidak akan bangkit semula di Sabah pada pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon untuk PRK itu, hari ini.

Warisan membentuk pakatan pilihan raya dengan PH menjelang PRU14 dan memperluaskan kerjasama dengan kemasukan Upko selepas parti berpangkalan di Sabah itu meninggalkan BN untuk bekerjasama dengan Warisan-PH.

Shafie berkata tidak ada sebab Warisan akan kalah pada PRK Kimanis jika terdapat perpaduan antara sekutu mereka, seperti yang terbukti pada PRK Sandakan Mei lalu ketika Warisan bekerjasama dengan DAP yang meletakkan calonnya.

Katanya, beliau gembira dengan penamaan calon yang berjalan lancar dan menyeru ahli parti agar tidak mudah berpuas hati dan sombong semasa kempen pilihan raya.

PRK Kimanis, yang akan diadakan pada 18 Jan, akan menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Mohamad Alamin dari BN dan Karim Bujang dari Warisan.

Tiada calon lain selepas pencalonan ditutup di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Dun Banir pada pukul 10 pagi.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 14 Jan. Kerusi DUN lain di Kimanis adalah Membakut.

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina.