
KUALA LUMPUR: Pasaran Getah Malaysia dijangka naik minggu depan susulan permintaan lebih baik bagi komoditi itu berikutan pelabur kekal tidak memasuki pasaran di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat-Iran.
Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low Jau Foo berkata, pelabur, terutamanya dari China, akan melakukan pembelian untuk menampung kedudukan stok yang rendah.
“China nampaknya membuat banyak pertanyaan, tetapi tidak diterjemahkan kepada pembelian sebenar minggu ini.
“Oleh itu kami menjangka mereka akan membeli minggu depan untuk menampung kedudukan stok mereka,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun peniaga perlu menyedari bahawa konflik yang berterusan itu boleh menjejaskan pasaran.
Sentimen pasaran meningkat berikutan laporan mengenai musim sejuk yang akan menjejaskan hasil dan kewujudan aktiviti belian dan stok sebagai persediaan menjelang bulan yang akan merekodkan produktiviti terendah seperti Feb dan Mac.
Tempoh yang ditetapkan merujuk kepada tempoh di mana daun pokok getah gugur dan hasil jatuh mendadak – fenomena yang berlaku setiap tahun di antara Feb dan Mei.
Sepanjang minggu, pasaran getah kebanyakannya ditutup lebih tinggi walaupun keuntungan dihadkan kerana peniaga kekal berhati-hati di tengah-tengah serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada Rabu lepas.
Perkembangan yang kelihatan sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS yang membunuh komander Iran, Jeneral Qasem Soleimani pada Jumaat lepas.
Dari Jumaat ke Jumaat, harga fizikal Lembaga Getah Malaysia untuk tayar gred SMR 20 melonjak 14.5 sen kepada 601 sen sekg, manakala lateks pukal naik 8.5 sen kepada 460.50 sen sekg.
Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi tayar gred SMR 20 bertambah 7.5 sen kepada 602 sen sekg, manakala lateks pukal meningkat 10.5 sen kepada 462 sen sekg berbanding dengan minggu sebelumnya.