10 negara bimbang situasi kemanusiaan di Gaza

10 negara bimbang situasi kemanusiaan di Gaza

Mereka berkata penduduk Gaza berdepan hujan lebat dan penurunan suhu akibat ketibaan musim sejuk, selain kurang bekalan makanan serta kemudahan kesihatan sangat kritikal.

penduduk gaza
Penduduk Palestin menghangatkan diri di sekitar unggun api antara runtuhan bangunan di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza. (Gambar EPA Images)
LONDON:
Menteri luar Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland dan Britain dalam kenyataan bersama pada Selasa menzahirkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan semakin meruncing di Gaza, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Luar Britain, menteri 10 negara itu menyuarakan “kebimbangan serius terhadap kemerosotan semula situasi kemanusiaan di Gaza yang kekal dalam bencana”.

Katanya, orang awam di Gaza kini berdepan keadaan sangat memeritkan dengan hujan lebat dan penurunan suhu ekoran ketibaan musim sejuk, selain kekurangan bekalan makanan serta kemudahan kesihatan sangat kritikal.

Justeru, mereka menggesa Israel memastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Gaza beroperasi secara “mampan dan konsisten” demi menjamin tindak balas kemanusiaan.

Israel turut digesa memastikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta rakan kongsinya dapat terus menyampaikan bantuan di wilayah itu.

Rejim itu turut diminta menarik balik sekatan terhadap barangan import dwiguna dan membuka pintu sempadan bagi memudahkan aliran bantuan kemanusiaan.

Baru-baru ini, kerajaan Palestin menggesa komuniti antarabangsa dan agensi PBB mengambil tindakan kemanusiaan segera bagi melindungi penduduk Gaza daripada keadaan musim sejuk yang ekstrem serta ribut yang berterusan.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat mingguan di Ramallah, Palestin turut meminta kebenaran kemasukan rumah mudah alih dan bekalan tempat perlindungan lain ke wilayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.