KPN sah VVIP terbabit kes dadah susulan spekulasi Adun ditahan

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, 16 daripada 17 individu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong di sini positif dadah.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengesahkan seorang VVIP terbabit kes dadah susulan spekulasi seorang Adun ditahan dalam tangkapan dadah dan judi awal pagi tadi.

“Polis sudah kenal pasti VVIP yang terbabit dalam kes membabitkan dadah. Saya rasa anda (media) tahu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Polis petang tadi memaklumkan 17 individu termasuk 6 wanita ditahan di sebuah pangsapuri di “Jalan Puchong, Kuala Lumpur” untuk siasatan kes penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Hamid bagaimanapun tidak menamakan individu-individu yang ditahan, nama pangsapuri berkenaan, dan di kawasan mana terletaknya Jalan Puchong.

“Semua suspek sudah diambil kenyataan. Pada hari ini selepas siasatan dilengkapkan, mereka dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Dalam tangkapan awal pagi tadi, polis temui plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan 1 piring kaca dipercayai mengandungi dadah jenis sama seberat 0.3 gram.

Polis juga temui sebatang rokok dibalut dengan daun kering, dipercayai dadah jenis ganja. Hasil saringan pertama mendapati hanya seorang lelaki disahkan negatif dadah.

“Proses saringan kali kedua sedang dijalankan. Kita sedang menunggu hasilnya. Sekiranya positif, kita akan ambil tindakan untuk mendakwa di mahkamah,” katanya.

Polis juga temui daun terup dan cip dipercayai digunakan untuk berjudi.

Terdahulu, media sosial kecoh mengenai dakwaan penahanan seorang wakil rakyat dan pegawai-pegawai kementerian semalam.

Wakil rakyat yang dikatakan ditahan itu sudah dihubungi dan tidak akan didedahkan sebelum pengesahan.

“Saya sekarang berada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Hamid ketika ditanya adakah mereka yang ditahan melibatkan pemimpin parti politik, Hamid berkata jabatan narkotik akan keluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Ditanya siapa pemilik pangsapuri itu, Hamid berkata polis masih sedang menyiasat dan sama ada ia sering digunakan.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menafikan salah seorang yang ditahan adalah pegawainya, sementara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengumumkan akan menggantung tugas pegawai kementerian yang terlibat sementara menanti siasatan dimuktamadkan.

Pengerusi PPBM Selangor, Abdul Rashid Ansari mengesahkan seorang Adunnya ditahan polis awal pagi tadi.

Menurut Abdul Hamid, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Dalam isu memerangi dadah, tidak ada kompromi daripada pihak saya. Tuan-tuan sendiri sedia maklum, rampasan dan tangkapan dadah yang pelbagai jenis yang sudah dilakukan bernilai jutaan ringgit.

“Dadah dalam negara merupakan ancaman terbesar. Ia ancaman yang serius dan akan menghancurkan negara,” katanya.

Jelas Abdul Hamid, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu lokap yang ada di seluruh negara dipenuhi dengan individu yang disyaki terlibat dengan kesalahan dari segi undang-undang.

“Bukan sahaja dengan kes dadah, saya tidak galakkan kes diambil mudah-mudah, yang mana kes boleh diselesaikn, jam itu, selesaikan dan bebaskan dengan jaminan polis. Jangan penuhkan lokap.

“Banyak sangat logistik terlibat, nak bekalkan makan, nak bekalkan apa semua, nak ada orang jaga, seluruh negara. Jangan amalkan ambil reman, lepas itu 3 hari orang itu duduk dalam lokap tanpa dibuat apa-apa.

“Apabila hari ketiga, barulah kelam kabut hendak ambil kenyataan. Ini adalah cerita dahulu, tetapi saya galakkan selesaikan siasatan di situ juga,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian merujuk tindakan polis melepaskan 16 daripada 17 individu terbabit dengan jaminan polis.

Beliau memberi jaminan, tidak akan membenarkan campur tangan mana-mana pihak dalam kes itu,sekali gus berkata, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd sendiri akan memantau kes.