Susunan politik baru sedang dibentuk di Putrajaya?

Dr Mahathir Mohamad dan Hadi Awang mengadakan beberapa pertemuan sejak pilihan raya 2018.

KUALA LUMPUR: Pengaturan semula lanskap politik Malaysia secara besar-besaran, yang boleh mengangkat PAS ke kuasa persekutuan, mungkin sedang dirancang berikutan kemerosotan sokongan kepada pentadbiran 20 bulan Pakatan Harapan, FMT difahamkan.

Susunan baru itu, menjajarkan kumpulan-kumpulan politik yang bersepakat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung, akan mempunyai kesan buruk bagi DAP dan Anwar Ibrahim.

“Mahathir menunjukkan percaturan politik yang mantap bagi menggagalkan pertelingkahan dalaman PH dan persepsi buruk masyarakat terhadap kerajaannya,” kata sumber yang arif dengan rancangan-rancangan licik di Putrajaya kepada FMT.

Perkembangan ini disebalik jangkaan bahawa akan ada menteri dan timbalan menteri melepaskan jawatan secara sukarela, susulan peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendirikan pada 2 Jan.

Seorang pemberi maklumat yang bercakap dengan FMT menamakan seorang lagi menteri dari parti Mahathir, PPBM akan mengumumkan peletakan jawatan.

Dipercayai menteri itu mengetuai salah satu daripada 3 kementerian yang pada penilaian Mahathir menunjukkan prestasi yang lemah.

Pimpinan parti secara peribadi bercakap tentang kebarangkalian rombakan Kabinet selepas Tahun Baru Cina, khabar angin yang menyebabkan kerisauan dalam kalangan menteri.

Tetapi seorang ahli Parlimen pemerintah memberitahu FMT bahawa kekalahan Warisan pada pilihan raya kecil Kimanis pada Sabtu akan mendorong perdana menteri mempercepat penyusunan semula Kabinet.

Sebarang rombakan Kabinet akan menjadi yang pertama di era pasca-BN.

“Ramai menteri bekerja hingga lewat malam pada minggu-minggu terakhir 2019 bersama pereka grafik masing-masing untuk menyediakan laporan kementerian yang indah-indah, menyenaraikan pencapaian masing-masing sejak memegang jawatan pada 2018,” kata wakil rakyat itu.

“Menteri-menteri tiada pilihan selain menulis mereka sudah melakukan yang terbaik dengan harapan Mahathir tidak akan menyingkir mereka.”

Susunan baru?

Namun perhatian tertumpu kepada kemungkinan kebangkitan semula PAS, terutama kebarangkalian parti Islam itu diberi peranan dalam kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam 4 dekad, menurut sumber.

Penjajaran PPBM dan PAS oleh Mahathir mungkin akan memunahkan harapan DAP untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan PH, tetapi pasti akan menghalang cita-cita Anwar, presiden PKR yang mahu menjadi perdana menteri.

PAS pernah menjadi sekutu penting bagi Anwar, dan sokongan parti Islam itu membolehkan beliau mengharungi masa-masa yang genting selepas pertikaiannya dengan Mahathir pada 1998.

Susunan baru Mahathir-PAS itu akan menarik sebahagian sokongan orang Melayu-Islam yang beliau perlukan untuk menuntut tampuk pemerintahan.

“Impian itu kini semakin sukar dicapai,” kata sumber FMT.

PAS meninggalkan kerajaan perpaduan Barisan Nasional pada 1977, dan selama beberapa dekad menjana sokongan secara bijak di nusa teras Melayu ketika ia menjadi mangsa kepada dasar-dasar Mahathir di awal-awal pemerintahannya.

Bagaimanapun, parti Islam itu mengisytiharkan sokongan padu kepada Mahathir sebagai perdana menteri kerajaan PH, berikrar akan menyokongnya kekal di jawatan itu sepenuh penggal (2018-2023) menghadapi suatu persefahaman di mana Anwar akan mengambil alih sebelum pilihan raya umum akan datang.

Kebangkitan semula parti itu sebagai kuasa di peringkat persekutuan akan menjadi pukulan mati buat DAP, pengkritik terkuat dasar-dasar Islam parti itu ketika bersekutu dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun berpisah, Mohamad Sabu dan Hadi Awang berkongsi pandangan mengenai isu-isu semasa yang memberi kesan pada dunia Islam. (Gambar Bernama)

Konflik antara pendirian sekular DAP dan dasar-dasar Islam Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015, dan kemunculan Parti Amanah Negara, ditubuhkan oleh kumpulan serpihan golongan “progresif” dalam PAS, diketuai Mohamad Sabu, yang dilihat bersekutu dengan DAP.

Tetapi kesan daripada susunan baru itu tidak akan beri impak besar pada Amanah, kata pemerhati politik. Kedua-dua parti itu berkongsi “DNA”, dan pemimpin mereka, Mat Sabu dan Hadi, “saling bersetuju dalam banyak isu Islam dan cuma tidak sependapat dalam isu politik dalam negara,” kata pemerhati.

Rundingan sulit

Menteri Besar Terengganu, Samsuri Mokhtar.

Spekulasi mengenai susunan baru itu dicetuskan oleh pertemuan antara Hadi dan bekas pembantunya, Ahmad Samsuri Mokhtar, kini menteri besar Terengganu.

Pada minggu yang sama, laman Facebook Hadi memuatnaik gambar-gambar memaparkan pertemuan beliau dan delegasi pimpinan kanan PAS dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada 8 Jan.

Seorang penyokong setia perdana menteri juga mengatur pertemuan Hadi dengan Mahathir, FMT difahamkan.

Hadi dipercayai berada di Kuala Lumpur selama beberapa minggu untuk perbincangan dengan pemimpin-pemimpin partinya, serta mengurangkan kebimbangan Umno – rakan kongsi baru PAS – mengenai perbincangannya dengan Mahathir.

Pemimpin PAS bergambar dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada 8 Jan 2020. (Gambar Facebook)

“Beliau hanya pulang ke Terengganu untuk kuliah mingguan di Rusila,” kata seorang sumber, merujuk kepada kuliah dhuha yang disampaikan Hadi di Marang.

Kumpulan dalaman Hadi dan Samsuri kunci mulut apabila dimaklumkan FMT ada butiran perbincangan Hadi dengan Mahathir.

Setiausaha politik Samsuri, Muhyiddin Abd Rashid, enggan mengulas. “Anda perlu tanya Dr Sam sendiri,” katanya.

Yang lain-lain kata mereka tidak sedar ada sebarang langkah, atau “belum lagi”, menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Beliau melihat pakatan antara PAS dan Mahathir secara positif.

“Tak jadi masalah kalau ia memanfaatkan rakyat dan negara. Tetapi setakat ini, perbincangan tertutup itu tiada kaitan dengan sebarang pakatan politik,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata PAS sentiasa terbuka dalam sokongannya kepada Mahathir untuk kekal berkuasa sepenuh penggal.

“Itulah pendirian presiden kami dari hari pertama,” katanya. “Dalam apa jua keadaan, parti kami dan presiden akan menyokong perdana menteri semasa, sehingga jika ada undi tidak percaya, kita akan sokong Mahathir sehingga penggal tamat.”

Seteru lama bertemu

Pakatan antara PAS dan Mahathir akan dianggap bersejarah sepertimana beliau bergabung dengan sekutu lama, Lim Kit Siang dari DAP, untuk menubuhkan Pakatan Harapan pada 2017.

Mahathir menjadi sasaran PAS kerana menentang cita-cita negara Islam parti itu. Mahathir selalu mengkritik Hadi sebelum ini.

Mahathir juga ada sejarah menekan pimpinan parti itu.

Apabila Hadi menjadi menteri besar Terengganu selepas PAS menang di negeri itu pada pilihan raya 1999, Mahathir dengan segera menyekat royalti minyak persekutuan, talian hayat untuk kerajaan negeri. Sebaliknya, “bayaran ehsan” pula dibuat, dibayar menerusi ketua-ketua jawatankuasa kampung berkaitan Umno.

Mereka saling bermusuhan dan menjelang pilihan raya umum 2018, Hadi menepis pelawaan Mahathir untuk berdamai dengan PAS.

“Kesediaan Mahathir untuk bertemu Hadi bila masa beliau menghubunginya di Putrajaya merupakan bab baru dalam hubungan mereka,” kata seseorang yang pernah bekerja rapat dengan pemimpin PAS itu.

Dari segi politik, pemulihan hubungan antara 2 pemimpin itu boleh difahami, katanya lagi.

“Mereka berdua tahu apa yang mereka saling boleh tawarkan.”

Bagi Mahathir, ia mengakui kawalan PAS ke atas blok undi Melayu yang strategik di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung.

Parti itu menang 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN pada 2018, meskipun menolak PH di kemuncak populariti gabungan itu.

Parti itu juga merampas Terengganu dari BN, disamping bertahan di Kelantan, dan meraih sokongan di Kedah dan Pahang.

Mencongak kerusi

Walaupun Mahathir mengetuai PH, PKR dan DAP yang mengawal sebahagian besar 129 kerusi gabungan itu di Parlimen.

PPBM hanya ada 26 kerusi, manakala PKR ada 50 kerusi dan DAP 42, dan Amanah 11. Sebanyak 10 lagi kerusi milik sekutu PH di Sabah: Warisan (9) dan Upko (1).

Dengan 18 kerusi PAS, pakatan Mahathir dan PAS akan ada 44 kerusi, atau 55 jika Amanah bersama mereka.

Ini belum mengambil kira penyokong-penyokong Mahathir yang terpendam dalam blok pembangkang lain, iaitu BN (41 termasuk 38 daripada Umno), dan Gabungan Parti Sarawak (18).

Laporan tambahan oleh Minderjeet Kaur, Robin Augustin dan Raja Faiz Zainuddin.