PAS cabar KM Melaka di Tanjung Bidara

PAS cabar KM Melaka di Tanjung Bidara

Minggu lalu PAS sasar tanding 15 kerusi di Melaka namun hari ini pesuruhjayanya di negeri itu tambah satu lagi menjadikannya 16 DUN.

rauf
PAS akan meletakkan calon di DUN Tanjung Bidara yang kini disandang Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
PETALING JAYA:
PAS mengesahkan bertanding 16 kerusi pada PRN Melaka termasuk mencabar Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh di DUN Tanjung Bidara.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail, berkata ketetapan itu dibuat sebagai persediaan menghadapi PRN dijangka tahun ini selaras keputusan parti dan arahan jentera pilihan raya pusat.

Katanya, PAS akan mempertaruhkan calon berwibawa, berintegriti dan mempunyai latar belakang kepimpinan diyakini bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).

“PAS Melaka dengan penuh tawakal dan keyakinan menyeru seluruh rakyat negeri memberikan sokongan kepada calon PAS dan PN dalam PRN ini.

“Sokongan amat penting dalam usaha membentuk kerajaan negeri yang lebih adil, berintegriti serta berpaksikan nilai Islam sebagai panduan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan.

Pada PRN lalu, Rauf memenangi kerusi Tanjung Bidara dengan 3,559 undi menewaskan ketua Wanita Bersatu yang kini digantung Mas Ermieyati Samsudin dan Zainal Hassan daripada PKR dengan majoriti 364 undi.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerusi akan ditandingi PAS adalah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, berkata parti itu sasar bertanding 15 kerusi di Melaka.

Sanusi dilaporkan berkata, sasaran dianggap realistik susulan kemenangan PAS bawah tiket PN di Parlimen Jasin dan Tangga Batu pada PRU15.

PRN Melaka dijangka diadakan pada bila-bila masa bermula Mei hingga Disember ini, menurut Rauf.

Pada PRN 2021, Barisan Nasional menang 21 kerusi tetapi berkurangan selepas Adun Rembia Jailani Khamis menyertai PAS kira-kira dua tahun lalu.

Pakatan Harapan pula menang lima manakala dua oleh PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.