Kumpulan hak asasi fail notis undang-undang terhadap menteri Singapura

Kumpulan hak asasi fail notis undang-undang terhadap menteri Singapura

Menurut LFL, butiran 'prosedur kejam' dikongsi oleh seorang bekas pegawai perkhidmatan penjara Singapura yang menjalankan hukuman gantung di Penjara Changi

Penjara Changi ialah satu-satunya penjara di Singapura yang boleh memuatkan lebih 20,000 banduan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam atas dakwaan penjara di negara itu menggunakan “kaedah kejam” ketika menjalankan hukuman gantung.

LFL dalam satu kenyataan berkata, tindakan undang-undang itu dibuat berhubung arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) yang dihantar kepada kumpulan peguam itu pada 22 Jan lalu.

Pemfailan berkenaan akan dibuat pada Jumaat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang akan diwakili peguam dan aktivis hak asasi manusia, S Ambiga dan Gurdial Singh Nijar.

Penasihat LFL N Surendran.

Terdahulu penasihat LFL, N Surendran berkata, butiran “prosedur kejam” itu dikongsi seorang bekas pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura yang menjalankan hukuman gantung di Penjara Changi.

Menerusi pendedahan berkenaan, seorang daripada 2 pegawai penjara akan menarik tali di sekeliling leher banduan ke arah bertentangan, jika prosedur penggantungan gagal.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa “kekejaman” berkenaan.

Penjara Changi ialah satu-satunya penjara di negara itu yang boleh memuatkan lebih 20,000 banduan.

Singapura bagaimanapun menafikan dakwaan LFL yang menuduh republik itu mengamalkan kaedah menggantung banduan yang kejam dan tidak sah di Penjara Changi.

Menurut republik itu, dakwaan LFL mengandungi “fakta kenyataan palsu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.