Tiada halangan untuk perhimpunan, persidangan, kata TPM

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mengenakan sebarang halangan untuk perhimpunan atau persidangan berskala besar, termasuk sambutan Thaipusam pada 8 Feb ini, di sebalik kebimbangan mengenai wabak koronavirus.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sehingga kini tiada nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sednia (WHO) berhubung acara-acara seperti itu.

“Kita lihat perkembangan. Kalau WHO kata tak boleh secara ramai-ramai, kita akan keluar kenyataan dan arahan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini wabak koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan hari ini.

Wan Azizah berkata kerajaan juga tidak mengehadkan kegiatan pelajar di sekolah.

Timbalan perdana menteri yakin sokongan padu dan komitmen semua pihak akan membantu mengawal wabak itu.

“Orang ramai diminta untuk sentiasa mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.