Asia Barat tegang, P Pinang kini tumpuan destinasi persidangan global

Asia Barat tegang, P Pinang kini tumpuan destinasi persidangan global

Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang berkata penganjur beralih arah mengadakan acara di rantau Asia-Pasifik susulan pembatalan sidang di Asia Barat.

Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang sasar 26 persidangan antarabangsa diadakan di Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Pulau Pinang menyaksikan peningkatan acara antarabangsa susulan ketegangan geopolitik berterusan di Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), Ashwin Gunasekaran, berkata ribuan persidangan kini sedang dipindahkan ke seluruh Asia-Pasifik dan Eropah disebabkan konflik itu.

Ashwin berkata, PCEB menyasarkan 26 persidangan antarabangsa diadakan di Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang, menyifatkannya sebagai ‘peluang mudah’ memandangkan ia merupakan acara yang sudah dirancang dan sedang mencari lokasi baharu.

“Kita melihat peningkatan dalam penganjuran acara susulan pembatalan besar-besaran di Asia Barat akibat ketegangan geopolitik di sana.

“Persaingan kini sangat sengit memandangkan peluang sedang terbuka luas dalam pasaran Asia-Pasifik bagi penganjuran persidangan,” katanya kepada pemberita di tepian majlis sempena pelancaran program BE Associate PCEB di Hotel St Giles Wembley.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow melancarkan program BE Associate, bertujuan melatih pelajar kolej bagi kerjaya dalam industri acara perniagaan di bawah bimbingan profesional industri.

Dalam ucapannya, Chow berkata sektor acara perniagaan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri, dengan 3,391 acara perniagaan menjana impak ekonomi RM1.91 bilion pada tahun lalu.

“Di sebalik angka-angka ini terdapat hasil yang nyata — lebih banyak peluang pekerjaan, lebih banyak perniagaan untuk syarikat tempatan, dan lebih banyak aktiviti merentasi seluruh ekosistem, daripada hotel hinggalah kepada perniagaan kecil.

“Apabila acara perniagaan berkembang, ekonomi juga turut berkembang bersamanya,” katanya.

Namun, beliau menyentuh mengenai sektor pelancongan global terus berdepan cabaran, dengan ketegangan geopolitik menjadikan pengembara lebih berhati-hati, sehingga ada yang menangguhkan perjalanan atau memilih destinasi lebih dekat.

Chow berkata, acara perniagaan menjadi semakin penting kerana ramai masih tetap melakukan perjalanan untuk bermesyuarat, bersidang, dan terlibat dalam pameran, malah sering melanjutkan tempoh penginapan serta membawa ahli keluarga bersama.

“Ini membantu menyokong industri pelancongan kita dalam suasana tidak menentu.. Memandangkan cabaran ini, kita tidak boleh berlengah dalam pembangunan bakat. Kita mesti bergerak lebih pantas.

“Permintaan pekerjaan berkembang dengan pesat dan golongan muda kita harus bersedia. Kita mahu belia Pulau Pinang kekal berdaya saing, merebut peluang, dan berkembang dalam kerjaya mereka,” tambah beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.