Kastam P Pinang rampas arak, rokok tak bercukai bernilai RM3.6 juta

Kastam P Pinang rampas arak, rokok tak bercukai bernilai RM3.6 juta

Pengarah Kastam negeri Rohaizad Ali berkata semua barangan itu dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Bukit Mertajam.

Seized alcoholic beverages and cigarettes
Antara rokok dan minuman beralkohol tidak bercukai bernilai yang dirampas Jabatan Kastam Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah gudang di Bukit Mertajam pada 13 Mac lalu.
SEBERANG PERAI:
Jabatan Kastam Pulau Pinang merampas rokok dan minuman beralkohol tidak bercukai bernilai lebih RM3.6 juta dalam satu serbuan di sebuah gudang di Bukit Mertajam pada 13 Mac.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata serbuan itu dibuat berdasarkan maklumat awam serta pemantauan selama dua bulan ke atas gudang di Jalan Berapit, Bukit Mertajam.

Katanya, pemeriksaan di gudang tersebut menemukan peti-peti yang mengandungi sejumlah 86,800 batang rokok biasa dan kretek, serta 55,605 liter bir dan minuman keras dengan nilai keseluruhan RM3,606,065.03 termasuk duti dan cukai.

“Barangan yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan. Pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti pemilik gudang tersebut,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki, menyimpan atau menyembunyikan barang tidak berkastam atau barang larangan.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barangan rampasan atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau RM500,000, yang mana lebih tinggi, penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.