
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada 18 Mei lalu hasil pemerhatian dan risikan dilakukan cawangan risik Batalion 7 di lokasi berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain, berkata ketika pemerhatian dilakukan, pihaknya mengesan seorang lelaki berada di tepi jalan bersama motosikal ditunggangnya.
“Hasil pemeriksaan suspek menyerahkan satu beg plastik yang didalamnya mengandungi lima botol plastik lut sinar berisi cecair dipercayai mengandungi dadah jenis ‘mushroom’.
“Hasil soal siasat terhadap suspek, polis dibawa ke lokasi kedua iaitu di sebuah rumah di Kampung Wakaf Stan di sini.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui 50.4 liter dadah dipercayai dadah jenis mushroom dan satu unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media hari ini, menurut Berita Harian.
Beliau berkata suspek kemudiannya ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM762,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.