
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Pulau Pinang memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 8.50 malam sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikerah ke lokasi.
“Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan sebagai Midnight Black terletak di bangunan bekas pawagam Odeon,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurut bomba, setakat 10.45 malam ini, kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan kira-kira 50% dan Pasukan Keluaran Operasi sedang berusaha mengawal dan memadamkan kebakaran.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Lim Hui Ying berkata, beliau bersama Ketua Menteri Chow Kon Yeow bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan tentang kebakaran tersebut.
“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa diterima, terima kasih kepada Balai Bomba Lebuh Pantai dan pasukan-pasukan PBS yang bertindak pantas mengawal kebakaran.
Selain asap tebal yang boleh dilihat hingga jarak 5km, kebakaran itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kawasan bandar raya George Town.
Bangunan yang pernah menempatkan Pawagam Odeon, antara pawagam paling ikonik di Pulau Pinang, pada asalnya dikenali sebagai Theatre Royal sebelum ditukar kepada King’s Theatre dan kemudiannya Odeon Cinema, yang menjadi sebahagian daripada landskap hiburan negeri itu sejak awal abad ke-20.
Pada 1940, pawagam tersebut menjalani proses pemodenan besar-besaran sebelum dibuka semula sebagai Odeon Cinema dengan kemudahan tayangan, sistem bunyi dan penyaman udara yang canggih pada zamannya.
Sepanjang operasinya, pawagam itu menayangkan pelbagai genre filem, termasuk produksi Hollywood, filem klasik, filem berbahasa Cina, filem aksi Hong Kong serta filem Tamil dan Hindi.
Pawagam itu menamatkan operasinya pada 31 Julai 2014, sekali gus menandakan berakhirnya era satu daripada pawagam skrin tunggal terakhir di Malaysia yang memberikan tumpuan kepada tayangan filem India.