Kondominium mewah pembantu Jho Low beli guna dana 1MDB dirampas

Kondominium mewah pembantu Jho Low beli guna dana 1MDB dirampas

Jabatan Kehakiman AS berkata pembantu peribadi ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, Catherine Tan, menyimpan hasil sewaan daripada unit di New York itu.

US Department of Justice DoJ US
Jabatan Kehakiman AS berkata perintah mahkamah itu menamatkan kes pelucuthakan sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih USD6 juta dikaitkan dengan konspirasi antarabangsa untuk menyeleweng dana 1MDB. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa Amerika Syarikat memperoleh perintah mahkamah untuk merampas sebuah unit kondominium mewah di New York City yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berkata unit kondominium itu dibeli untuk manfaat pembantu peribadi ahli perniagaan buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, iaitu Catherine Tan.

Menurut DoJ, Tan turut menyimpan hasil sewaan daripada unit berkenaan, yang kini turut dilucut hak.

Perintah mahkamah itu menamatkan kes pelucuthakan sivil yang difailkan di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Tengah California bagi mendapatkan semula aset bernilai USD6 juta (RM23.8 juta) yang dikaitkan dengan konspirasi antarabangsa untuk pengubahan dana diseleweng daripada 1MDB.

Dalam kenyataan, DoJ berkata kerajaan Malaysia menubuhkan 1MDB bagi menggalakkan pembangunan ekonomi negara menerusi kerjasama global dan pelaburan langsung asing.

“Dana itu sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

“Sebaliknya, dana milik 1MDB dan hasil terbitan bon untuk serta bagi pihak 1MDB diseleweng dan dibelanjakan oleh Low serta rakan-rakan konspiratornya untuk pelbagai barangan mewah.”

DoJ berkata, barangan itu termasuk kediaman dan hartanah mewah di Beverly Hills, California, New York serta London; sebuah kapal layar super sepanjang 300 kaki; dan karya seni oleh Monet serta Van Gogh.

Dana berkenaan juga disalurkan kepada pelbagai pelaburan perniagaan, termasuk sebuah hotel butik di Beverly Hills, syarikat produksi filem yang menerbitkan The Wolf of Wall Street, projek pembangunan semula Park Lane Hotel di Manhattan, dan saham dalam EMI, pemegang hak muzik persendirian terbesar.

Low berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di AS serta Malaysia, berhubung peranan utama yang didakwa dimainkannya dalam skandal 1MDB.

Beliau berulang kali menafikan sebarang salah laku, manakala keberadaannya masih tidak diketahui.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata Malaysia berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion, atau 74.53%, daripada RM42 bilion dana 1MDB yang diseleweng setakat 2025.

Ketika itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata peratusan dana diseleweng yang berjaya diperoleh semula oleh Malaysia lebih tinggi berbanding piawaian antarabangsa sekitar 60% hingga 70%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.