Pakai topeng muka jika tidak sihat, kata timbalan menteri

Pakai topeng muka jika tidak sihat, kata timbalan menteri

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan di Malaysia kekal 8, dengan jumlah pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 masih menunggu keputusan makmal.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, topeng muka perlu dipakai oleh mereka yang mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema.
IPOH:
Penutup hidung dan mulut perlu dipakai oleh mereka yang mempunyai gejala seperti demam, selesema dan batuk bagi mengelak jangkitan penyakit yang dihidapi kepada orang lain, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau menegaskan pemakaian penutup hidung dan mulut itu mesti dilakukan dengan cara yang betul, khususnya apabila berada di tempat awam.

“Untuk elakkan jangkitan, paling penting adalah basuh tangan selalu, gunakan sabun, pencuci sesuai. Kalau pakai penutup hidung dan mulut dengan cara tak betul seperti sentuh muka juga berisiko alami jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan Tahun Baru Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di sini, hari ini.

Lee, yang juga ahli Parlimen Gopeng, berkata demikian sebagai mengulas mengenai pandangan beberapa pakar bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut perlu untuk mencegah jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Timbalan menteri kesihatan itu berkata, sekiranya pemakaian penutup hidung dan mulut diwajibkan, ia akan mencetuskan satu suasana panik dengan terdapat kemungkinan permintaan untuk menutup tempat-tempat awam.

“Adakah kita perlu hentikan semua perhimpunan, tutup sekolah, tutup panggung wayang? Ini akan menyebabkan keadaan panik,” katanya.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan di Malaysia kekal 8 dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.