Amal ‘salam’ cara Malaysia elak jangkitan koronavirus, kata timbalan menteri

Amal ‘salam’ cara Malaysia elak jangkitan koronavirus, kata timbalan menteri

'Salam' cara Malaysia iaitu meletakkan tangan di dada dan mengelakkan bersalaman secara sentuhan.

Lee Boon Chye (baju putih) bersama Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran ketika sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Orang ramai disaran mengelakkan bersalaman secara sentuhan dan sebaliknya mengamalkan “salam” cara Malaysia iaitu meletakkan tangan di dada sebagai langkah pencegahan penularan koronavirus novel 2019 (2019-nCoV).

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, cara berkenaan perlu diberi perhatian berikutan virus itu boleh berjangkit melalui sentuhan dan tidak melalui udara.

“Apabila berada berhampiran pesakit yang batuk, dalam jarak 0.9m kemungkinan cecair itu boleh membawa jangkitan dan kuman.

“Virus pada cecair batuk yang terkena pada permukaan seperti meja, lif dan sebagainya boleh bertahan dalam tempoh beberapa jam dan ada kemungkinan orang lain akan mendapat jangkitan penyakit apabila tersentuh kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, hari ini.

Lee yang juga ahli Parlimen Gopeng, turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan penjagaan kesihatan dengan kerap membasuh tangan bagi mengelakkan penyakit itu daripada terus merebak.

Sementara itu, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menghalang rakyat negara ini mengunjungi Singapura buat masa kini kerana pihaknya percaya negara jiran tersebut mampu mengawal kluster jangkitan koronavirus.

“Kita harap kluster jangkitan itu boleh dikawal…sekiranya jangkitan yang terdapat di Singapura tidak dapat dikawal, ini bermakna risiko jangkitan dalam komuniti di Malaysia adalah tinggi,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan 3 lagi kes positif jangkitan koronavirus di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 33 kes.

caption:

Avoid shaking hands, do the ‘salam’, says deputy health minister

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.