Polis Indonesia dedikasi lagu untuk Wuhan saat China dilanda koronavirus

Polis Indonesia dedikasi lagu untuk Wuhan saat China dilanda koronavirus

Hans menyanyikan lagu bertajuk 'Jiayou Wuhan' (Kuat semangat Wuhan) di tengah-tengah penularan wabak koronavirus di negara itu.

Anggota polis Indonesia bernama Hans menyanyikan lagu ‘Jiayou Wuhan’ di aplikasi Smule.
PETALING JAYA:
Seorang anggota polis Indonesia mendedikasikan sebuah lagu bertajuk “Jiayou Wuhan” (Kuat semangat Wuhan) di tengah-tengah penularan wabak koronavirus yang kini menjejaskan 30,000 di China, selain meragut 636 nyawa.

Dalam video yang dimuat naik di YouTube pada 2 Feb, Hans, pegawai polis dari daerah Sorolangun di Jambi dilihat menyanyi lagu dengan seorang lelaki di aplikasi Smule.

“Kepada rakan-rakan saya di Wuhan, kami sentiasa berdoa dan menyokong anda dan berharap wabak (koronavirus) akan berakhir,” kata Hans yang kini terkenal di peringkat antarabangsa sehingga ditemubual media China.

Kerajaan China memberikan sambutan hangat kepada Hans mengatakan ia membuktikan “ada kehangatan dalam kemanusiaan” kerana masyarakat seluruh dunia meminta China terus kuat dalam menghadapi wabak koronavirus.

“Biarkan sahabat dari Indonesia tahu bahawa epidemik itu akan berakhir satu hari nanti, dan pada hari itu, kami mengalu-alukan semua yang menyokong Wuhan dan China untuk melawat China, terutama Wuhan,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Minggu lalu, Indonesia memindahkan 238 rakyatnya dari wilayah Hubei di China dan menempatkan mereka di Pulau Natuna di wilayah Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan tunjuk perasaan yang diadakan di ibu kota Ranai yang terletak beberapa kilometer dari pangkalan tentera yang dikawal ketat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.