
Ketua Wanita PPBM yang pertama, Rina harun dilantik ke jawatan itu pada 2017 dan kemudiannya dilantik menganggotai Kabinet pada 2018 sebagai menteri pembangunan wilayah dan luar bandar.
Pencabar utama beliau nampaknya merupakan ketua PPBM Kepala Batas, Azlina Mehtab Mohd Ishaq, yang merupakan seorang peguam yang berpangkalan di Pulau Pinang dengan pengalaman dalam politik Umno dan lebih 20 tahun sebagai aktivis membantu orang miskin.
Rina yang berasal dari Selangor terlibat dalam Puteri Umno dari 2002 hingga 2013 dan merupakan anggota jawatankuasa eksekutif sayap muda itu dari 2009 hingga 2013.
Beliau dilihat mempunyai kelebihan dari segi keberkesanan berkempen dengan akses kepada kementeriannya dan jabatan berkaitan.
Bagaimanapun survei FMT menunjukkan Azlina mendapat sokongan yang kuat, susulan kerjanya di peringkat akar umbi.
Sayap wanita dalam politik Melayu merupakan kuasa yang tidak didendang di sebalik pencapaian parti semasa pilihan raya umum dan kerap disebut-sebut sebagai pengimbang kepada retorik pemimpin lelaki parti terbabit, sekali gus berjaya menembusi benteng tentangan di kawasan pilihan raya untuk memenangi undi yang ada.
Sebelum ini Umno kerap mengakui dan memuji pengaruh dan kebolehan sayap wanitanya untuk mendekati golongan msikin, mendengar keluhan orang bawahan dan mewujudkan ikatan dengan pangkalan sokongan mereka.
Dengan latar belakang ini, tidaklah memeranjatkan wujud minat tentang siapakah yang akan memimpin Wanita PPBM atau Srikandi – nama yang ditakrifkan sebagai wanita berani yang memiliki sosok Tun Fatimah pada zaman bendahara kesultanan Melaka.
Rina, yang merupakan ahli Parlimen Titiwangsa, tidak mengetuai mana-mana bahagian PPBM, tetapi dilaporkan menyasarkan bahagian Sepang di Selangor.
Beliau dijangka akan mempertahankan jawatan sebagai ketua Wanita PPBM pusat, walaupun belum mengesahkannya.
Walaupun kedudukannya sebagai menteri memberikan beliau akses kepada jentera kerajaan, namun Rina dikritik kerana didakwa menganugerahkan projek kepada pemimpin bahagian tertentu parti itu, selain kegagalan memajukan sayap wanita itu.
Satu projek membaiki rumah orang miskin yang mendapat dana daripada kementeriannya dikritik oleh sesetengah anggota Wanita PPBM yang melihatnya sebagai perbuatan membeli undi.
“Kita bukan minta projek, tetapi sekurang-kurangnya wujudkan peluang yang boleh berkembang dan memperbaiki sayap wanita. Anda menteri,” kata seorang akar umbi PPBM.
“Jumlah anggota Wanita PPBM tidak bertambah sepanjang tempoh kepimpinan beliau, walaupun wujud potensi besar untuk sayap ini.”
Dalam pada itu, Azlina dilihat mendapat sambutan di peringkat akar umbi dan kelihatan mempunyai kemampuan untuk benar-benar mencabar Rina.
Survei yang dilakukan oleh FMT da;lam kalangan 10 bahagian PPBM di seluruh negara mendapati beliau mendapat sokongan lebih 60%.
Azlina yang juga mempunyai latar belakang Puteri Umno, sebelum ini merupakan ketua Puteri Umno Pulau Pinang dan anggota jawatankuasa pusat sayap itu. Beliau keluar Umno pada 2016 selepas menganggotainya selama 10 tahun.
Beliau menyertai Umno dengan pengalaman 8 tahun sebagai pemimpin Sepakat, sebuah kumpulan yang memenangi anugerah berikutan sumbangannya membantu golongan miskin di bahagian utara semenanjung pada akhir 1990-an.
Beliau juga berpengalaman dalam kerajaan tempatan sebagai ahli majlis di Seberang Perai dari 2002 hingga 2004.
Azlina juga merupakan peminat motosikal berkuasa tinggi – beliau memiliki 3 buah – namun sikapnya lunak dan disenangi oleh akar umbi di Pulau Pinang.
Beliau merupakan tenaga penting di sebalik kemunculan abangnya, Khaliq Mehtab, sebagai Adun Bertam pada pilihan raya umum 2018.
“Beliau mudah didekati dan anda akan tahu bahawa beliau berpengalaman luas membantu orang. Azlina suka mendengar dan tidak sombong kerana telah lama berkhidmat dalam masyarakat.
“Kami berjumpa beberapa hari lepas dan beliau ada rancangan untuk menstruktur semula Wanita PPBM supaya lebih cemerlang. Rancangannya mantap dan kami percaya beliau boleh memimpin di peringkat pusat,” kata seorang pemimpin kanan PPBM kepada FMT.
Calon lain yang turut berminat bertanding jawatan ketua Wanita PPBM ialah Zuhuraina Makmur dan Najwa Halimah Abdul Alim.
PPBM mempunyai 377,057 ahli berdaftar dan 2,946 cawangan.