Bank Muamalat, AmBank benar tangguh bayaran pinjaman kerana koronavirus

Pelanggan terjejas akibat koronavirus boleh menghubungi atau ke cawangan AmBank atau Bank Muamalat berdekatan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai penangguhan sementara atau penstrukturan semula kemudahan pembiayaan.

KUALA LUMPUR: AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak koronavirus.

Pelanggan terjejas boleh menghubungi pihak bank yang kemudiannya akan menilai dan mempertimbangkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sulaiman Mohd Tahir berkata, sebagai bank prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib pelanggannya, khususnya individu dan PKS yang terjejas.

“AmBank komited membantu mereka dalam saat-saat ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bahagian insurans dan takaful kumpulan itu, AmMetLife dan AmMetLife Takaful memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat itu menawarkan liputan untuk kemasukan ke hospital yang disebabkan koronavirus melalui beberapa hospital kerajaan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi 03-2178 8888 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi cawangan berhampiran.

Sementara itu, Bank Muamalat menawarkan moratorium sementara sehingga 6 bulan untuk bayaran ansuran bulanan ke atas kewajipan pembiayaan tertentu kepada semua pelanggan dan kakitangannya sebagai bantuan bagi mereka yang terjejas akibat koronavirus.

Bank itu dalam kenyataan semalam berkata, skim tersebut terpakai untuk semua kemudahan pembiayaan kepada pelanggan individu dan perniagaan, berdasarkan merit setiap kes dan disediakan sehingga 31 Julai ini.

“Dalam tempoh seperti ini dan sebagai sebuah bank yang berteraskan perbankan berasaskan nilai di bawah Maqasid Shariah, kami akan berusaha meringankan beban pelanggan kami yang mungkin terjejas dalam pelbagai cara disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.

Pelanggan dinasihatkan menghubungi 1-300-88-8787 atau mengunjungi cawangan terdekat untuk maklumat lanjut.