
Suruhanjaya Kesihatan Hubei dalam kemas kini data hariannya mengesahkan 2,097 kes baru di wilayah tengah itu, menjadikan lebih 42,200 kes disahkan di seluruh China.
Virus baru itu dipercayai muncul lewat tahun lalu di sebuah pasar yang menjual haiwan liar di Wuhan, ibu negeri Hubei yang menjadi pusat penyebaran wabak berkenaan.
Presiden China, Xi Jinping yang dipetik stesen penyiaran kerajaan CCTV ketika menemui anggota perubatan dan pesakit di sebuah hospital pada Isnin, menggesa pihak berkuasa melaksanakan “langkah lebih tegas” untuk mengawal penularan wabak itu.
Sebuah pasukan pendahuluan untuk misi pakar antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diketuai Bruce Aylward tiba di China pada lewat Isnin.
Beliau pernah menyelia respons WHO bagi wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014 hingga 2016.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pula memberi amaran terdapat kes “contoh membimbangkan” dengan pesakit yang tiada sejarah lawatan ke China.
Britain pada Isnin merekodkan 8 kes dan kerajaannya memberi amaran penularan wabak koronavirus ialah “ancaman segera dan serius”.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjangkakan wabak itu berhenti pada April ini akibat cuaca panas.