Malaysia nafi tarik cadangan saman EU berhubung sekatan ke atas minyak sawit

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, Malaysia akan memulakan aduan sendiri apabila pakar undang-undangnya bersedia.

PETALING JAYA: Menteri Industri Utama Teresa Kok menolak andaian bahawa Malaysia mahu menarik diri daripada memfailkan saman di Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) terhadap Kesatuan Eropah (EU) berhubung sekatan ke atas biodiesel berasaskan minyak sawit.

Merujuk kepada laporan Reuters awal hari ini, Teresa berkata, wartawan yang menemuramah beliau di Brussel semalam telah “memutarbelitkan” kenyataannya dan beliau “dengan sengaja disalah petik”.

Beliau dilaporkan berkata bahawa Malaysia membuat keputusan untuk tidak memfailkan saman WTO, sebaliknya akan mengambil langkah meyakinkan EU supaya mengubah pendiriannya mengenai tanaman itu dalam semakan yang dijadualkan pada 2021.

Tahun lepas EU berkata, biodiesel berasaskan minyak sawit tidak dianggap sebagai tenaga boleh diperbaharui dan penggunaannya sebagai bahan api kenderaan akan dimansuhkan bermula 2024.

Indonesia dan Malaysia mengeluarkan lebih 85% daripada minyak sawit dunia. Indonesia memulakan kesnya terhadap EU di WTO pada Disember.

Malaysia diterima sebagai pihak berkepentingan untuk memerhati prosiding saman Indonesia terhadap EU di WTO.

“Pada bila-bila masa apabila pakar undang-undang kita telah bersedia, kami akan memfailkan aduan rasmi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Malah inilah intipati kenyataan saya kepada wartawan Reuters itu, yang malangnya telah memutarbelitkan kenyataan saya mengenai perkara yang amat penting ini.

“Dalam temu bual itu, saya tegaskan bahawa misi semasa saya ialah bertemu dengan pemimpin EU bagi menjelaskan usaha yang dlakukan oleh kerajaan Malaysia dan industri minyak sawit untuk menghasilkan minyak sawit mapan, dan juga projek pemuliharaan alam sekitar lain yang dimulakan oleh industri,” katanya.