Masa depan alternatif Pemuda PPBM

Apabila rakyat memilih untuk menjatuhkan rejim Umno Barisan Nasional, niat utama pengundi adalah untuk menghentikan amalan rasuah dan politik naungan yang sudah lama membarah.

Parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang diterajui parti Dr Mahathir Mohamad, pengerusi PPBM menjanjikan Malaysia Baru yang berintegriti dan bermaruah.

Pemilihan PPBM yang sedang berlangsung kali ini akan mendapat pemerhatian ramai kerana parti yang “menggantikan” Umno ini perlu menunjukkan teladan yang baik dalam menjamin sebarang bentuk politik wang atau naungan tidak dimulakan oleh mereka yang bertanding.

Walau bagaimanapun, kita mempunyai sebab untuk berasa bimbang. Hal ini kerana, baru-baru ini, Muzammil Ismail, calon ketua Pemuda PPBM, dalam sebuah temu ramah di sebuah portal media, mula membangkitkan soal peruntukan yang tidak diberikan kepada sayap Pemuda itu, yang mengakibatkan anak buah berada dalam keadaan “daif” dan terpaksa “menggadaikan” harta.

Tidak salah untuk bahagian-bahagian parti untuk mendapat peruntukan. Tetapi apabila Muzammil mengaitkan soal “peruntukan” dengan pemilihan Pemuda, timbul persoalan, apakah untuk mendapat sokongan dalam parti, calon yang bertanding perlu menjanjikan wang untuk menang? Inilah yang sangat ditakuti rakyat.

Muzammil banyak menekankan peruntukan di bawah kepimpinan Pemuda, yang menyaksikan ada juga ahli dan anggota exconya yang tidak terbela dan tidak menerima apa-apa sumbangan pertolongan semasa pemerintahan PH.

Lebih parah lagi, beliau memberi gambaran bahawa sepanjang menjadi kerajaan, Pemuda PPBM tidak mendapat peruntukan. Apakah kaitan antara menjadi kerajaan dan peruntukan kepada Pemuda?

Jadi, apabila kerajaan terbentuk, maka ahli politik dalam kerajaan harus menyalurkan wang kepada parti? Dari manakah yang dimaksudkan oleh Muzammil peruntukan ini akan datang?

Secara tidak langsung, hasratnya ini menyerlahkan corak kepimpinan yang ingin dibawa beliau dalam parti pemerintah. Memang parti memerlukan wang. Namun soal peruntukan parti perlu diperbincangkan dalam konteks memperbaiki kerangka kerja dan dasar dana politik negara.

Hal ini kerana tanpa prinsip yang telus dalam soal dana politik, bagaimana kita boleh mendapat jaminan bahawa peruntukan ini tidak diambil daripada sumber yang tidak halal, seperti pemberian kontrak kepada kroni dan amalan rasuah?

Rakyat Malaysia sedang memerhati. Politik seharusnya bersih, peruntukan tidak sepatutnya menjadi isu utama oleh parti pemerintah, sebaliknya, mereka perlu membincangkan jalan penyelesaian dan polisi yang boleh memperkasakan negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Umum mengetahui ekonomi sekarang ini kurang memberangsangkan. Kadar pengangguran belia lebih 10%, ramai yang hilang kerja dan mereka yang berkelayakan tinggi terpaksa bekerja sebagai pemandu, penghantar makanan dan pegawai keselamatan.

Namun, perkara pertama yang diketengahkan calon ketua Pemuda PPBM ini apabila beliau mengumumkan untuk bertanding adalah wang.

Sebagai parti pemerintah, PPBM memerlukan pemimpin yang mempunyai idea dari segi dasar dan jalan penyelesaian masalah rakyat, khususnya pekerjaan dan memberikan mereka suara.

Polisi seperti suntikan RM6.5 bilion [email protected], pemerkasaan ekonomi “gig” untuk menambah 350,000 peluang pekerjaan, serta Undi 18 untuk mengetengahkan suara belia, perlu diperdebatkan bagi mencari jalan terbaik untuk diimplementasikan segera agar rakyat mendapat manfaatnya secepat mungkin.

Sebagai calon pemimpin parti pemerintah, Muzammil sepatutnya menekankan visi beliau untuk memperkasakan Pemuda PPBM dari segi penghasilan idea, menarik bakat dan polisi alternatif yang lebih baik daripada penyandang. Malangnya, permulaan karier politik beliau dicemari isu peruntukan parti dan ahli yang tidak mendapat wang.

Kita patut mengubah cara pemikiran bahawa memasuki politik adalah untuk mendapatkan wang. Ini kerana ia adalah permulaan semula kepada politik naungan, yang dikeji dan ditolak rakyat sehabis-habisnya pada PRU14 yang lalu.

Sekiranya PPBM dipimpin oleh mereka yang cara pemikirannya sama dengan Umno, maka masa depan parti Melayu yang baru ini sudah pun diketahui hujungnya.

Rusli Ahmad adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.