Dr M, Muhyiddin beza pandangan mengenai gabungan baru?

Sumber berkata, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin berbeza pandangan mengenai komposisi komponen gabungan baru politik.

PETALING JAYA: Peletakan jawatan mengejut Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan juga pengerusi parti berpunca daripada perbezaan pandangan beliau dengan presiden PPBM Muhyiddin Yassin mengenai komposisi komponen gabungan politik baru, kata sumber kepada FMT.

Beliau berkata, Muhyiddin menyokong pembentukan satu gabungan politik baru, yang dikenali dalam kalangan media sebagai “Pakatan Nasional”, untuk turut merangkumi Umno, PAS, MCA, MIC dan sebilangan ahli Parlimen PKR.

“Tetapi Mahathir tak setuju. Itu sebabnya beliau letak jawatan PPBM.”

Sumber berkata, pendirian Mahathir merupakan berita baik untuk DAP dan Amanah, yang dijangka menjadi tidak relevan sekiranya berlaku kemasukan “besar-besaran” ahli Parlimen Umno dan PAS.

“Ini juga sebab kenapa DAP dan Amanah sokong Tun,” katanya.

Dakwaan itu tampak selari dengan naratif setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengenai perkembangan yang berlaku di kediaman Mahathir pagi tadi.

“Ekoran bantahan beliau terhadap percubaan jahat untuk mengetepikan dan menghakis mandat rakyat kepada PH, Dr Mahathir meletakan jawatan sebagai perdana menteri dan juga pengerusi PPBM.

“Tun Dr Mahathir dengan jelas menyebut bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan Umno setelah mereka bekerja keras untuk menolak parti itu dalam pilihan raya umum 2018.

Peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi PPBM berlaku hampir serentak dengan pengumuman Muhyuddin tentang penarikan diri parti ini daripada Pakatan Harapan, iaitu gabungan 4 parti yang menumpaskan Barisan Nasional (BN) 2 tahun lepas.

Muhyiddin dan sebilangan pemimpin PPBM dan PKR, termasuk Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin hadir dalam satu perjumpaan ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak malam tadi.

Turut hadir ialah ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir.

Lembang Klang semalam heboh dengan cakap-cakap bahawa Mahathir berada di belakang langkah untuk membentuk satu gabungan politik baru terdiri daripada Umno dan PAS.

Langkah itu dilihat akan menyebabkan DAP hilang kuasa di peringkat persekutuan, sekali gus menghalang janji peralihan kuasa yang akan menyaksikan presiden PKR Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Terdahulu FMT melaporkan, cadangan pembentukan gabungan politik baru terdiri daripada ahli Parlimen Umno dan PAS gagal susulan permintaan Umno yang dianggap “berlebihan” oleh pemimpin PH.

“Mereka (pemimpin Umno) minta berlebihan, jadi perbincangan dihentikan buat sementara waktu. Justeru tiada pengumuman dibuat,” kata sumber kepada FMT.

Difahamkan, antara lain pemimpin Umno mahu presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Adnan Tengku Mansor dilantik ke jawatan tertinggi dalam gabungan baru yang dirancang itu.

“Pemintaaan mereka ditolak serta-merta,” katanya.

Sumber juga mendakwa Umno mencadangkan bekas menteri pertahanan Hishammuddin dilantik sebagai timbalan perdana menteri.